MCMC kenal pasti 23 ketidakpatuhan kualiti Internet di Muar – Nie Ching

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan lapan notis ketidakpatuhan kepada syarikat telekomunikasi susulan penemuan 23 ketidakpatuhan standard kualiti perkhidmatan internet di 16 lokasi di Parlimen Muar menerusi audit dijalankan tahun ini.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, audit terhadap enam pemberi perkhidmatan bagi tempoh 1 Januari hingga 1 Oktober mendapati hanya 18 daripada 34 lokasi di Muar mematuhi Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS).

Daripada 23 ketidakpatuhan dikenal pasti itu, 18 telah diselesaikan menerusi penambahbaikan rangkaian, manakala baki lima lagi sedang dalam proses tindakan susulan MCMC yang akan mengarahkan pemberi perkhidmatan mengemukakan pelan tindakan penambahbaikan.

“Kegagalan mematuhi arahan tersebut boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini, lapor Bernama.

Beliau menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) mengenai langkah mengatasi masalah kualiti dan capaian internet yang masih terhad di beberapa kawasan di Muar, meskipun data Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) menunjukkan kadar liputan di Parit Amat, Sungai Kelat, Tanjung Tohor dan Sungai Muda telah mencapai 100 peratus.

Menjawab perkara itu, Nie Ching berkata liputan internet di kawasan berpenduduk di Parlimen Muar sememangnya telah mencapai 99.98 peratus di bawah JENDELA, namun kadar liputan tinggi tidak semestinya menjamin kualiti pengalaman penggunaan yang sama di setiap lokasi.

Katanya, kualiti perkhidmatan internet turut dipengaruhi faktor seperti kesesakan kapasiti rangkaian, gangguan infrastruktur telekomunikasi serta keadaan geografi dan persekitaran setempat.

Bagi mengatasi masalah liputan, beliau berkata, dua menara komunikasi jenis Portable Base Transceiver Station (PBTS) telah siap dibina di Tanjung Tohor dan Sungai Terap oleh CelcomDigi dan U Mobile susulan aduan Pejabat Ahli Parlimen Muar pada November 2025.

Selain itu, sebuah menara komunikasi baharu oleh Maxis sedang dibina di Sri Menanti dan dijangka siap pada Disember 2026, manakala kerja penambahbaikan rangkaian di Parit Amat telah dilaksanakan pada Disember 2025.

“Pada masa sama, tiga lagi menara komunikasi baharu di bawah inisiatif JENDELA dirancang di Kampung Sungai Muda, Kampung Sungai Balang Kechil Darat dan Kampung Sungai Balang Darat, dengan pembinaannya kini dalam peringkat pelaksanaan dan dijangka siap serta mula beroperasi pada Disember 2026,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here