MALAYSIA tidak memerlukan pilihan raya awal semata-mata kerana ada pihak yang tidak sabar mahu mengambil alih kerajaan atau semakin bimbang kehilangan kuasa, sebaliknya pembubaran Parlimen perlu berasaskan kepentingan dan keperluan negara.
Penganalisis politik Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, persoalan utama yang perlu dijawab sebelum membincangkan pembubaran Parlimen ialah pihak yang sebenarnya mendapat keuntungan daripada pilihan raya awal, sama ada rakyat, negara, parti politik atau individu tertentu yang berusaha menyelamatkan kedudukan masing-masing.

Menurutnya, pembubaran Parlimen tidak sepatutnya berlaku bukan kerana negara kehilangan arah, tetapi disebabkan ada ahli politik yang kehilangan kesabaran untuk menunggu giliran berkuasa.
Beliau berkata, landskap politik Malaysia ketika ini masih berpecah dan tiada jaminan pilihan raya awal akan menghasilkan kerajaan lebih kukuh.
Malah, katanya, negara mungkin sekali lagi berhadapan dengan Parlimen tergantung, rundingan pembentukan kerajaan, tawar-menawar jawatan dan percaturan politik yang mengulangi episod selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Kalau selepas berbilion ringgit dibelanjakan untuk pilihan raya, kita kembali ke meja rundingan yang sama, dengan pemain yang sama dan masalah yang sama, apakah sebenarnya yang telah kita selesaikan?
“Saya tidak menolak pilihan raya awal sekiranya kerajaan benar-benar kehilangan keabsahan atau keupayaan untuk mentadbir. Itu sebahagian daripada proses demokrasi. Tetapi selagi kerajaan mempunyai sokongan majoriti dan masih mampu melaksanakan tanggungjawabnya, mengapa perlu tergesa-gesa?” katanya kepada utusanmelayuplus.
Beliau berkata, rakyat ketika ini berhadapan tekanan kos sara hidup, ketidaktentuan ekonomi, peluang pekerjaan dan pelbagai cabaran struktural yang belum selesai.
Justeru, katanya, pertukaran kerajaan secara tergesa-gesa tidak semestinya mampu menurunkan harga barang, meningkatkan pendapatan rakyat atau menyelesaikan masalah ekonomi dalam sekelip mata.
Dr. Ahmad Zaharuddin turut berpandangan belum ada mana-mana blok politik yang benar-benar tampil dengan penyelesaian menyeluruh dan meyakinkan terhadap permasalahan negara.
Sebaliknya, katanya, perkara yang banyak didengari ialah retorik perpaduan, serangan politik dan janji perubahan, sedangkan perpaduan yang dilaungkan itu sendiri masih rapuh.
“Jangan kita keliru antara keinginan menukar kerajaan dengan kemampuan menyelesaikan masalah negara. Kedua-duanya bukan perkara yang sama. Mandat pentadbiran bukan sekadar hak untuk memegang kuasa, tetapi tanggungjawab untuk menyempurnakan apa yang telah dijanjikan.
“Berilah ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan mandatnya sehingga tamat penggal, selagi ia masih berfungsi dan mempunyai keyakinan Parlimen. Selepas itu, biarlah rakyat menjadi hakim,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, PRU15 telah memperlihatkan bahawa tiada satu gabungan pun memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.
Sehubungan itu, katanya, persoalan yang perlu dijawab ialah apakah perubahan fundamental dalam landskap politik negara sehingga pilihan raya umum yang dipercepatkan diyakini mampu menghasilkan keputusan lebih baik.
Beliau melihat kemungkinan berlakunya Parlimen tergantung masih besar sekiranya pilihan raya diadakan lebih awal.
“Jika itu berlaku, rakyat sekali lagi akan menyaksikan episod rundingan politik, percaturan jawatan, pembentukan jajaran baharu dan mungkin juga pengkhianatan terhadap prinsip yang dilaungkan sepanjang kempen. Ironinya, mereka yang bermati-matian menyerang antara satu sama lain ketika pilihan raya mungkin akhirnya duduk semeja, berpelukan dan mengisytiharkan perpaduan demi kestabilan negara.
“Semalam musuh yang wajib dijatuhkan, esok sahabat yang wajib dipertahankan. Itulah tragedi politik Malaysia apabila prinsip mempunyai tarikh luput, tetapi kepentingan mempunyai hayat yang panjang,” katanya.
Dr. Ahmad Zaharuddin turut mempersoalkan sama ada parti politik mempunyai penyelesaian sebenar untuk menangani kos sara hidup, memperkukuh nilai ringgit, meningkatkan produktiviti, mengurangkan beban fiskal dan mewujudkan pekerjaan berkualiti. Atau sekadar menawarkan wajah Perdana Menteri yang berbeza, tetapi menggunakan skrip politik yang sama.
“Jangan kita terlalu ghairah bercakap tentang siapa bakal menjadi Perdana Menteri sehingga terlupa bertanya siapa sebenarnya mampu menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.
Menurut beliau, pilihan raya awal hanya wajar sekiranya terdapat krisis keyakinan yang serius, kerajaan tidak lagi mempunyai majoriti atau pentadbiran benar-benar lumpuh.
Bagaimanapun, katanya, jika kerajaan masih berfungsi, belanjawan boleh diluluskan dan dasar masih boleh dilaksanakan, justifikasi mendesak untuk membubarkan Parlimen perlu diperjelaskan.
Beliau berkata, pilihan raya juga memerlukan perbelanjaan awam yang besar selain berpotensi menimbulkan ketidaktentuan terhadap keputusan pelaburan dan kesinambungan dasar.
“Rakyat tidak sepatutnya dipaksa membayar kos pilihan raya hanya untuk membiayai eksperimen politik mereka yang ketagih kuasa. Saya tidak mengatakan kerajaan hari ini sempurna. Banyak kelemahan masih perlu diperbetulkan dan janji reformasi mesti dituntut.
“Namun, kelemahan kerajaan tidak secara automatik membuktikan bahawa pembangkang mempunyai penyelesaian yang lebih baik. Begitu juga, kegagalan pembangkang menawarkan alternatif tidak memberikan lesen kepada kerajaan untuk terus selesa,” katanya.
Dr.Ahmad Zaharuddin berpandangan kerajaan perlu diberikan ruang untuk menyelesaikan mandatnya selagi masih mempunyai keabsahan untuk mentadbir.
Katanya, baki tempoh pentadbiran sepatutnya digunakan untuk menilai prestasi sebenar dan bukannya terus mengheret negara ke medan pertarungan politik yang belum tentu menghasilkan pemenang mutlak.
“Malaysia tidak kekurangan ahli politik yang mahu menjadi Perdana Menteri. Malaysia kekurangan keberanian politik untuk meletakkan kepentingan negara mengatasi cita-cita peribadi. Kalau selepas pilihan raya kita masih mendapat masalah yang sama, pemimpin yang sama dan perebutan kuasa yang sama, maka yang sebenarnya berubah hanyalah tarikh pilihan raya. Yang terus menjadi mangsa ialah rakyat.
“Pilihan raya sepatutnya menjadi jalan keluar daripada krisis, bukannya jalan masuk kepada krisis yang baharu. Jangan bubarkan Parlimen semata-mata kerana ada yang mahu cepat berkuasa. Bubarkanlah hanya apabila ia benar-benar menjadi keperluan negara, bukan kehendak nafsu politik,” katanya.





