MCMC terima 29 aduan babitkan berita palsu, provokasi dan penipuan sepanjang kempen PRN Johor

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima sebanyak 29 aduan membabitkan penyebaran berita palsu, ucapan kebencian dan penipuan sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, bermula 1 Jun hingga 9 Julai lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, daripada jumlah itu, 17 aduan melibatkan penyebaran berita palsu, 11 aduan berkaitan ucapan kebencian berunsur 3R, manakala satu kes membabitkan penipuan termasuk akaun palsu dan penyamaran.

“Semua aduan yang diterima telah disalurkan kepada platform media sosial untuk tindakan lanjut mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kulai Besar di Kulai pagi ini.

Mengulas lanjut Nie Ching berkata, bagi kes ucapan kebencian berunsur 3R, sebanyak sembilan kes membabitkan isu kaum, manakala masing-masing satu kes berkaitan agama dan institusi Diraja.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan penyebaran maklumat yang tidak sahih atau kandungan berunsur kebencian.

“Saya menyeru kepada pengundi jangan mudah terperdaya dengan berita-berita palsu ataupun kenyataan yang berunsur benci.

“Jadilah seorang netizen yang celik digital dan gunakan kuasa kita sebagai seorang pengundi dengan bijaksana,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img