AHLI Parlimen Jelutong, RSN Rayer membuat laporan polis terhadap Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan dan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berhubung dakwaan mereka bahawa Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar mengingkari titah pengampunan Yang di-Pertuan Agong membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Rayer mendakwa, kenyataan kedua-dua individu itu mengandungi unsur hasutan dan meminta polis serta Jabatan Peguam Negara membuka kertas siasatan mengikut Kanun Keseksaan, Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.
Laporan berkenaan dibuat di Balai Polis Gadek, Alor Gajah pagi tadi bersama Senator Dr RA Lingeshwaran.
Menurut Rayer, tindakan membuat laporan polis terhadap Peguam Negara serta desakan supaya beliau dipecat, meletakkan jawatan atau bercuti perlu diberi perhatian pihak berkuasa.
“Saya membuat laporan polis ini terhadap semua individu yang membuat laporan polis ke atas Peguam Negara dan mendakwa beliau perlu dipecat, meletakkan jawatan atau bercuti.
“Saya ulangi, seorang timbalan menteri dalam Kerajaan Persekutuan, iaitu Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, serta bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin membuat pelbagai tuduhan berunsur hasutan dan membuat laporan polis terhadap Peguam Negara,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Pada 7 November lalu, Ahmad yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian membuat laporan polis di Balai Polis Benut berhubung kelewatan pelaksanaan perintah tahanan rumah terhadap Najib.
Sehari kemudian, Khairy pula menyatakan Peguam Negara perlu bercuti serta-merta sementara polis menjalankan siasatan terhadap laporan yang dibuat berhubung isu pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri itu.
Mengulas lanjut, Rayer berkata, perintah tahanan rumah baharu yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi semalam menunjukkan Peguam Negara tidak menderhaka atau mengingkari titah diraja seperti yang didakwa.
“Realitinya Peguam Negara hanya memohon perintah dikeluarkan oleh mahkamah pada Jumaat lalu diperjelaskan dengan lebih lanjut di mahkamah,” katanya.
Beliau turut memaklumkan kira-kira 190 laporan polis sudah dibuat di seluruh negara terhadap Peguam Negara.
Rayer menyifatkan tindakan membuat laporan polis semata-mata bagi tujuan politik sebagai amalan tidak sihat, lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan Peguam Negara yang juga pegawai kanan kerajaan.





