SEORANG lelaki mengalami kerugian RM325,951.33 selepas diperdaya sindiket penipuan telefon yang menyamar sebagai pihak berkaitan Bank Negara Malaysia (BNM) dan mendakwa akaun bank mangsa dibekukan.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa berusia 75 tahun dihubungi seorang wanita tidak dikenali pada awal Mei lalu sebelum dimaklumkan akaun banknya kononnya dibekukan BNM.
Menurutnya, suspek kemudian mengarahkan lelaki itu memindahkan wang ke beberapa akaun bank bagi tujuan mencairkan akaun berkenaan.
Suspek turut menjanjikan wang berkenaan akan dikembalikan selepas urusan selesai, selain mengugut kononnya BNM akan mencarinya jika gagal memberikan kerjasama.
“Bimbang dengan ugutan itu, mangsa akur dengan arahan diberikan suspek.
“Antara Mei hingga November lalu, mangsa membuat pemindahan wang secara berperingkat ke lapan akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM325,951.33.
“Bagaimanapun, selepas pemindahan wang terakhir dibuat, mangsa mendapati nombor telefonnya disekat dan gagal menghubungi suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahrulanuar berkata, mangsa yang menyedari dirinya ditipu kemudian membuat laporan polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.




