BEKAS Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor mengakui menerima beberapa tawaran untuk terus bersama kerajaan negeri, namun memilih mempertahankan parti itu ketika berdepan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Beliau yang ditamatkan khidmat sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) berkuat kuasa 9 November lalu berkata, keputusan itu dibuat atas dasar tanggungjawabnya sebagai ketua parti yang perlu memastikan kelangsungan Bersatu di Kelantan.
“Apabila diberi beberapa pilihan, saya memilih untuk terus menjaga parti kerana itu tanggungjawab saya sebagai ketua parti.
“Parti memerlukan saya sekarang, lebih-lebih lagi menjelang PRU yang tidak lama lagi,” katanya, lapor Sinar Harian.
Terdahulu hari ini, kerajaan negeri Kelantan mengesahkan pelantikan Kamarudin sebagai Exco kerajaan negeri tidak disambung berkuat kuasa 9 November lalu selepas mendapat perkenan Sultan Kelantan.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohamed Fadzli Hassan dilaporkan berkata, susulan keputusan itu, portfolio Pelancongan dan Kesenian yang sebelum ini disandang Kamarudin akan dipangku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil, Hilmi Abdullah manakala portfolio Warisan dan Kebudayaan dipangku ADUN Apam Putra, Zamakhsyari Mohamad.
Dalam pada itu Kamaruddin berkata, kepimpinan sedia ada di peringkat negeri masih belum bersedia sepenuhnya untuk mengambil alih tanggungjawab menerajui parti berkenaan.
Bagaimanapun katanya, beliau tidak menganggap dirinya sebagai individu yang tidak boleh digantikan, malah berharap lebih ramai pemimpin muda dan berkemampuan tampil mengambil alih kepimpinan pada masa depan.
“Kalau tanya saya, saya lebih suka orang muda yang bertenaga dan mempunyai keupayaan mengambil alih kepimpinan. Saya sudah beritahu mereka supaya membuat persediaan untuk mencari pengganti,” katanya.





