SEORANG lelaki tempatan dipercayai menerima bayaran RM300 bagi setiap individu untuk membawa tujuh warga Myanmar tanpa dokumen perjalanan sah dari Pasir Mas ke Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, kegiatan penyeludupan mereka terbongkar apabila kenderaan dinaiki kumpulan itu ditahan sepasukan anggota polis di Kilometer 10, Jalan Sungai Terah di Gua Musang semalam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pemandu berusia 40 tahun bersama tujuh penumpang terbabit ditahan kira-kira jam 10.50 pagi.
Beliau berkata, penahanan dilakukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah selepas mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan terbabit dipandu lelaki tempatan berusia 40 tahun bersama tujuh penumpang dipercayai warga Myanmar, iaitu lima lelaki dan dua perempuan berusia antara 17 hingga 39 tahun.
“Semua tujuh penumpang gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan dipercayai mengambil kesemua warga asing itu di sekitar Pasir Mas untuk dibawa ke Kuala Lumpur dengan bayaran RM300 bagi setiap seorang.
Polis turut menahan kesemua individu terbabit bagi membantu siasatan selain merampas kereta dan telefon bimbit untuk tindakan lanjut.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pihak lain yang mungkin terbabit dalam kegiatan berkenaan.





