PASUKAN Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai produk sejuk beku, kemudahan penyimpanan dan peralatan bernilai lebih RM7.1 juta dalam operasi bersepadu di tujuh daerah di Sabah pada Selasa lalu.
Operasi Op Salju Mega menerusi Op Taring Chiller itu turut menyaksikan 13 individu ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kegiatan penyeludupan, penyimpanan dan pemprosesan produk sejuk beku yang dipercayai melanggar undang-undang.
Komander Briged Sabah PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nor Omar Sappi berkata, sebanyak lapan serbuan dijalankan hasil maklumat orang awam di Kota Kinabalu, Tawau, Kunak, Lahad Datu, Sandakan, Beluran dan Ranau.
Menurutnya, operasi bermula jam 9 pagi hingga 6 petang itu membawa kepada penahanan 13 individu berusia antara 18 hingga 60 tahun, termasuk seorang lelaki warga asing.
“Kesemua individu yang ditahan didapati tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
“Nilai keseluruhan rampasan dan sitaan di lapan lokasi berkenaan dianggarkan RM7,116,982.98,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, daripada jumlah berkenaan, kira-kira RM6.017 juta membabitkan kemudahan bilik sejuk beku atau cold room, mesin penyejuk (chiller) serta pelbagai peralatan lain.
Katanya, baki hampir RM1.1 juta pula melibatkan pelbagai jenis produk sejuk beku yang dirampas sepanjang operasi berkenaan.
Operasi itu membabitkan 131 pegawai dan anggota daripada PGA, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta pihak berkuasa tempatan.
Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk pelanggaran Enakmen Haiwan Sabah 2015, peraturan pihak berkuasa tempatan berkaitan premis perniagaan dan makanan serta Akta Cukai Pendapatan.
Nor Omar berkata, individu yang disabitkan kesalahan mengikut Enakmen Haiwan Sabah 2015 boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Katanya, semua individu yang ditahan bersama barang rampasan sudah diserahkan kepada agensi berkaitan untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“PGA akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan penyeludupan, penyimpanan dan pemprosesan produk sejuk beku yang menyalahi undang-undang, khususnya di Sabah.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan berkenaan diminta menyalurkannya kepada polis bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil,” katanya.





