Bawa permohonan pengampunan Najib demi jamin hak bekas PM – Anwar

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan keputusan membawa permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak ke Lembaga Pengampunan pada 2023 dibuat bagi memastikan hak bekas Perdana Menteri itu sebagai banduan tidak dinafikan.

Beliau berkata, setiap banduan mempunyai hak mengemukakan permohonan pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dipertimbangkan selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, sebagai Perdana Menteri, beliau tidak mahu dilihat menyalahgunakan kuasa atau bertindak menganiaya mana-mana individu dengan menghalang permohonan berkenaan daripada melalui proses yang ditetapkan.

“Saya nak jelaskan mengapa saya bawa kes Datuk Seri Najib pada tahun 2023 ke Lembaga Pengampunan. Kerana saya sebagai seorang Perdana Menteri, saya tak sanggup dianggap menganiaya sesiapa.

“Dalam Perlembagaan negara kita, setiap banduan berhak mengemukakan rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dipertimbangkan. Kalau saya tak bagi, (umpama) saya nafikan hak dia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Pesta Melaka, Rumah Kita di Taman Melaka Perdana, Alor Gajah malam tadi.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, keputusan membawa permohonan itu bagaimanapun mengundang kritikan daripada pihak tertentu yang mendakwa beliau mengkhianati prinsip perjuangan menentang rasuah.

Mengulas kritikan berkenaan, beliau menegaskan peranannya adalah memastikan permohonan itu dikemukakan untuk pertimbangan, manakala keputusan memberikan pengampunan merupakan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong melalui proses yang ditetapkan.

“Kalau aku tak buat, aku khianat. Aku buat, aku khianat. Ini apa?,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa permohonan berkenaan disertakan dokumen sokongan termasuk laporan perubatan, rekod penjara serta laporan berkaitan kelakuan baik bagi membolehkan Lembaga Pengampunan membuat pertimbangan.

Anwar menegaskan, tindakan memastikan permohonan itu diproses tidak bermakna kerajaan berkompromi dalam usaha membanteras rasuah dan penyelewengan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here