SEORANG wanita warga emas ditemukan tidak sedarkan diri ketika mendaki Bukit Sungai Lembu di Bukit Mertajam semalam, dipercayai selepas disengat lebah.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.35 petang.
Menurutnya, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
Mangsa berusia 72 tahun itu ditemukan anggota bomba pada jam 6.40 petang dengan bantuan orang awam yang turut menyertai pencarian di sekitar kawasan berkenaan.
“Wanita itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum pasukan bomba membawanya turun ke kaki bukit dan diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut.
“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Bukit Mertajam,” katanya dalam kenyataan malam tadi.





