PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menduduki tempat ke-13 dalam senarai 500 Muslim paling berpengaruh dunia menerusi penerbitan “The Muslim 500: The World’s 500 Most Influential Muslims” edisi 2027.
Penerbitan tahunan edisi ke-18 oleh Royal Islamic Strategic Studies Centre (RISSC) yang berpangkalan di Jordan itu menyatakan Anwar mula memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada November 2022, menerajui Kerajaan Perpaduan di bawah gabungan Pakatan Harapan (PH).
Menurut laporan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengutamakan peralihan digital dan pengukuhan ekonomi menerusi kerangka Malaysia MADANI, dengan kecerdasan buatan, semikonduktor, pusat data, pengkomputeran awan dan peralihan tenaga sebagai teras agenda strategik kerajaan.
“Pada Jun 2026, Anwar mengetengahkan peralihan tenaga sebagai tonggak utama agenda pembangunan Malaysia, dengan menghubungkan keperluan tenaga masa depan negara secara langsung kepada perkembangan pesat sektor infrastruktur berteknologi tinggi,” menurut laporan itu.
Pada peringkat serantau, Anwar turut diiktiraf atas peranan diplomatik dalam meredakan ketegangan Thailand dan Kemboja susulan pertempuran di sempadan pada Julai 2025.
Selaku Perdana Menteri Malaysia dan Pengerusi ASEAN, beliau menjadi tuan rumah rundingan antara pemimpin kedua-dua negara di Putrajaya yang membantu mencapai persetujuan gencatan senjata.
“Anwar membantu membina kepercayaan antara Bangkok dengan Phnom Penh, sekali gus memperkukuh imej Malaysia sebagai perantara keamanan konstruktif di Asia Tenggara,” menurut laporan itu.
Penerbitan berkenaan turut mengiktiraf Anwar sebagai antara pemimpin dunia paling lantang memperjuangkan isu Palestin, khususnya dalam menuntut perlindungan orang awam dan akses bantuan kemanusiaan di Gaza.
Laporan itu menyebut beliau mengumumkan kepada Parlimen Malaysia bahawa negara sedang menerajui gabungan teras antarabangsa yang merangka resolusi rasmi untuk mengusir Israel daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), selain menegaskan pendirian Malaysia tidak mengiktiraf Israel kekal.
Pertemuan beliau dengan pegawai Hamas, termasuk Allahyarham Ismail Haniyeh turut mencetuskan bantahan terbuka negara Barat, namun Anwar menegaskan hak Malaysia sebagai negara berdaulat menentukan dasar luarnya sendiri.
Selain kepimpinan politik, laporan itu turut merakamkan penglibatan awal Anwar dalam aktivisme sebagai Pengasas dan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada 1971, pengalaman menerajui beberapa portfolio Kabinet termasuk Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 1990-an serta sumbangan akademiknya di St Antony’s College, Oxford, Johns Hopkins University dan Georgetown University.
“Beliau ialah pengasas bersama International Institute of Islamic Thought (IIIT) yang ditubuhkan di Amerika Syarikat pada 1981. Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pro-Canselor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dari 1983 hingga 1988 serta menerima pelbagai ijazah kehormat antarabangsa,” menurut laporan itu.
Dalam edisi 2027, kedudukan teratas dikongsi Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdul-Aziz Al-Saud dan Putera Mahkota, Mohammed bin Salman, Perdana Menteri Pakistan, Mian Muhammad Shehbaz Sharif dan Ketua Staf Tentera Darat, Jeneral Syed Asim Munir, serta Presiden Türkiye, Recep Tayyip Erdogan.
Pemimpin Asia Tenggara lain dalam kelompok 50 teratas ialah Presiden Indonesia, Prabowo Subianto (ke-16), Pengerusi Nahdlatul Ulama, Yahya Cholil Staquf (ke-21) dan ulama Indonesia, Habib Luthfi Yahya (ke-31).
Pakar pediatrik Palestin dan Pengarah Hospital Kamal Adwan, Dr Hussam Abu Safiya yang ditahan Israel tanpa pertuduhan sejak Disember 2024 pula dinobatkan sebagai The Muslim 500’s Man of the Year for 2027 dan berada di kedudukan ke-50.





