Wisma Putra perkukuh kesiapsiagaan lindungi rakyat Malaysia di luar negara

KEMENTERIAN Luar memperkemas persediaan menghadapi situasi kecemasan di luar negara menerusi pengaktifan Pelan Kontingensi di semua Pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia susulan insiden serangan dron dan peluru berpandu Houthi di Arab Saudi.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pelan berkenaan sentiasa dikemas kini dengan mengambil kira pemetaan lokasi rakyat Malaysia, mekanisme komunikasi, penyelarasan sumber serta strategi pemindahan secara sistematik.

Katanya, pelan itu menjadi panduan operasi bagi memastikan bantuan dan proses evakuasi dapat dilaksanakan dengan teratur serta berkesan sekiranya berlaku sebarang krisis.

“Ia juga adalah sebagai panduan operasi dalam menghadapi sebarang situasi krisis demi memastikan tindakan bantuan serta evakuasi dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Kapten (B) Azahari Hasan (Bebas-Padang Rengas) mengenai langkah kerajaan melindungi rakyat Malaysia, termasuk jemaah umrah dan pelajar di Arab Saudi, susulan peningkatan serangan dron dan peluru berpandu Houthi.

Jawapan bertulis itu disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen malam tadi.

Mohamad berkata, kerajaan turut menggalakkan rakyat Malaysia yang berada di luar negara mendaftar dengan Pejabat Perwakilan Diplomatik menerusi e-mel, panggilan telefon atau sistem e-Konsular bagi memudahkan penyampaian maklumat serta penyelarasan bantuan ketika kecemasan.

Selain itu, aplikasi MyWorldAlert turut disediakan sebagai saluran komunikasi berasaskan lokasi semasa dengan kebenaran pengguna dan menggunakan Sistem Kedudukan Global (GPS), sekali gus membolehkan rakyat Malaysia menghubungi pejabat perwakilan terdekat untuk mendapatkan bantuan konsular.

Menurutnya, kerajaan juga telah mengeluarkan nasihat perjalanan, pemakluman media, siaran akhbar dan notis konsular menerusi Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah serta Kedutaan Besar Malaysia di Muscat susulan insiden pada 15 September lalu.

Beliau berkata, seramai 2,334 rakyat Malaysia di Arab Saudi dan 582 di Yaman telah berdaftar dengan Pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia setakat ini.

“Pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia sentiasa mengadakan libat urus dengan kerajaan negara tuan rumah bagi memastikan kesiapsiagaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan dan melaporkan status dan perkembangan terkini dari semasa ke semasa,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here