DATUK Seri Anwar Ibrahim mengesahkan sudah menerima surat peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan, namun menegaskan perkara itu perlu diteliti terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.
Perdana Menteri berkata, tiada keperluan untuk tergesa-gesa memutuskan kedudukan Setiausaha Agung DAP itu dalam Kabinet memandangkan perkara berkenaan memerlukan perbincangan lanjut.
“Beri tempoh untuk saya bincang dan meneliti semula. Saya belum menerima peletakan jawatan (Anthony).
“Saya sudah menerima surat dan beliau berkata (peletakan jawatan) berkuat kuasa, tetapi saya tentunya akan mengambil masa untuk meneliti dan tidak ada keperluan untuk kita tergesa-gesa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Madrasathul Gouthiyyah Surau Brickfields, Kuala Lumpur hari ini, lapor BH.
Semalam, Anwar menyatakan hasrat untuk mengadakan perbincangan semula dengan Anthony bagi memujuk beliau mempertimbangkan semula keputusan meninggalkan Kabinet.
Perdana Menteri turut menyifatkan Anthony sebagai seorang menteri yang amanah, bersih dan bekerja keras, selain berjaya membawa pelbagai inisiatif dalam Kementerian Pengangkutan untuk memudahkan urusan rakyat termasuk pengguna pengangkutan awam serta pemandu teksi.
Kontroversi peletakan jawatan itu tercetus selepas Anthony mengumumkan keputusannya berundur berkuat kuasa serta-merta pada 10 November lalu, susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Anthony sebelum ini menjelaskan keputusan itu dibuat berpegang kepada prinsip dan pendirian DAP yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan pengampunan bersyarat terhadap Najib.
Beliau juga pernah mengesahkan sudah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Anwar pada 28 September lalu, namun diminta meneruskan tugas sebagai Menteri Pengangkutan sementara menunggu perkembangan berkaitan pelaksanaan tahanan rumah Najib.
Keputusan DAP berhubung isu berkenaan sebelum ini menyaksikan Loke menawarkan diri untuk melepaskan jawatan dalam Kabinet, manakala menteri dan timbalan menteri daripada parti itu yang lain kekal dalam Kerajaan Perpaduan.





