Ahli perniagaan Singapura didakwa pecah amanah 500,000 saham

SEORANG ahli perniagaan warga Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan pecah amanah jenayah membabitkan 500,000 unit saham sebuah syarikat pada 2022.

Poh Po Lian, 68, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama seorang lagi individu yang masih bebas didakwa menyalahgunakan 500,000 unit saham Victoria Island Club Berhad yang diamanahkan kepada mereka oleh Tan Sri Ta Kin Yan.

Kedua-duanya didakwa memindahkan saham berkenaan kepada Jennifer Kok Sau Keng tanpa persetujuan enam individu yang sepatutnya menerima sebahagian daripada saham itu.

Perbuatan tersebut didakwa berlaku di sebuah unit kediaman di Solaris Dutamas, Jalan Dutamas 1, pada 31 Julai 2022, lapor BH.

Poh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Dr Ifa Sirrhu Samsudin menawarkan jaminan RM1 juta dengan dua penjamin, termasuk seorang warganegara Malaysia yang mempunyai alamat tetap di negara ini.

Pendakwaan turut mencadangkan syarat supaya tertuduh melapor diri setiap bulan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhampiran serta tidak mengganggu saksi.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan tidak memohon pasport tertuduh ditahan kerana dokumen itu diperlukan bagi membolehkannya berulang-alik ke Singapura.

Peguam Datuk Jerald Gomez yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya tidak berisiko melarikan diri.

Beliau berkata, tertuduh menetap dan menjalankan perniagaan di Malaysia lebih 30 tahun serta memiliki pas di bawah program Malaysia My Second Home (MM2H).

Katanya, tertuduh turut mempunyai beberapa syarikat, aset dan hartanah di Malaysia, termasuk di Pavilion Bukit Bintang dan Pulau Pinang.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM400,000 dengan dua penjamin warga Malaysia.

Tertuduh turut diperintahkan tidak mengganggu saksi pendakwaan dan perlu melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM berhampiran.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 8 Disember ini.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here