Azrin mohon deklarasi sebagai Undang Luak Jelebu ke-17 di Mahkamah Tinggi

UNDANG Luak Jelebu yang baharu, Datuk Azrin Khairi memohon deklarasi Mahkamah Tinggi Seremban hari ini, bagi mengesahkan kedudukannya sebagai Undang Luak Jelebu ke-17 seperti dizahirkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada 14 Oktober lalu.

Permohonan itu turut menuntut deklarasi bahawa Datuk Maarof Mat Rashad tidak lagi memegang jawatan dan gelaran Undang Luak Jelebu ke-16 berkuat kuasa 31 Mei 2023.

Menurut permohonan berkenaan, pemberhentian Maarof dibuat selepas mendapat nasihat Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan dalam persidangan pada 31 Julai lalu sebelum diwartakan pada 23 Oktober 2026.

Azrin turut memohon injunksi kekal bagi menghalang Maarof daripada menggunakan gelaran Undang Luak Jelebu, Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman atau Yang Teramat Mulia, selain menjalankan sebarang fungsi berkaitan jawatan berkenaan.

Permohonan itu juga bertujuan menghalang Maarof daripada mengadakan atau menghadiri sebarang majlis dan istiadat adat atas kapasiti sebagai Undang Luak Jelebu, termasuk Majlis Pengukuhan Adat dan Pemegang Pesaka Luak Jelebu yang dijadualkan berlangsung pada 15 November ini.

Selain itu, Azrin memohon supaya Maarof dihalang daripada melantik atau melucutkan mana-mana pemegang pesaka dan jawatan adat, mengeluarkan dokumen rasmi menggunakan nama Undang Luak Jelebu serta menggunakan Balai Undang Luak Jelebu bagi tujuan berkenaan.

Beliau turut memohon injunksi mandatori supaya Maarof menurunkan, memadam dan menarik balik semua poster, hantaran, kenyataan serta bahan yang menghebahkannya sebagai Undang Luak Jelebu dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh perintah dikeluarkan, lapor BH.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Roz Mawar Rozain itu, mahkamah turut mendengar permohonan Azrin bagi mendapatkan injunksi interim secara ex-parte untuk menghalang Maarof daripada bertindak sebagai Undang Luak Jelebu sementara menunggu kes berkenaan diputuskan.

Bagaimanapun, Roz Mawar mengarahkan permohonan itu diteruskan secara inter-parte, iaitu dengan kehadiran kedua-dua pihak, selain mengarahkan notis permohonan diserahkan kepada Maarof.

Mahkamah turut menolak permohonan Azrin bagi mendapatkan perintah ad-interim selepas mendapati tiada alasan kukuh untuk membenarkannya.

Mahkamah menetapkan 17 Disember depan sebagai tarikh pendengaran kedua-dua permohonan berkenaan menerusi sidang video.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here