‘’Tindakan UMNO jejaskan perjanjian Kerajaan Perpaduan bukan DAP’’ tegas Ramkarpal

 POLEMIK antara pemimpin DAP dan UMNO dalam isu hubungan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan berterusan.

Hari ini pemimpin DAP membidas tuduhan UMNO bahawa DAP sedang menjejaskan hubungan menjejaskan hubungan dalam Kerajaan Perpaduan, sebaliknya menuduh UMNO menguji batas persefahaman antara parti dalam gabungan itu

Pengerusi Biro Undang-Undang DAP Ramkarpal Singh membangkitkan hubungan dan kerjasama politik antara UMNO-Barisan Nasional (BN) dengan Pas, walaupun Umno merupakan rakan teras dalam Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH).

“Bekerjasama dengan pembangkang sambil pada masa sama menjadi sebahagian daripada pentadbiran menimbulkan persoalan serius mengenai keikhlasan dan komitmen UMNO terhadap mandat bersama gabungan itu, yang boleh menjejaskan kestabilan kerajaan dengan serius

“Perkara ini jelas kelihatan dalam PRN Johor, Negeri Sembilan dan PRN Melaka yang sedang berlangsung,’’ katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said yang mengkritik Pengerusi DAP Gobind Singh Deo kerana mencabar Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad  Zahid Hamidi supaya meletakkan jawatan sekiranya tidak menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Azalina berkata, mengeluarkan kata dua secara terbuka kepada presiden parti rakan gabungan bukan tindakan membina dan tidak selaras dengan semangat perjanjian Kerajaan Perpaduan.

Bagaimanapun, Ramkarpal menegaskan bahawa perjanjian Kerajaan Perpaduan dimeterai terutamanya bagi memastikan kestabilan kerajaan.

Beliau meminta Azalina supaya ‘nilai secara jujur’ mengenai komitmen partinya terhadap kesinambungan kerajaan yang stabil, sambil menyatakan tindakan UMNO kebelakangan ini telah menjejaskan kestabilan dan semangat perjanjian berkenaan.

“Jika timbul sebarang dakwaan mengenai pengkhianatan kepercayaan atau pelanggaran syarat kerjasama politik dan perjanjian berkenaan, rekod tindakan masing-masing sudah cukup menjelaskan segala-galanya,” katanya.

Ramkarpal yang juga Timbalan Setiausaha Agung DAP itu turut membangkitkan corak kritikan terbuka berterusan oleh beberapa pemimpin UMNO terhadap Perdana Menteri.

Beliau berkata, meskipun perdebatan dalaman secara membina adalah sihat dalam mana-mana gabungan, serangan terbuka berterusan hanya melemahkan kewibawaan Anwar dan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap kerajaan secara keseluruhan.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu turut merujuk gesaan pemimpin UMNO supaya Parlimen dibubarkan lebih awal, sedangkan BN dan PH sedang bersama-sama menerajui pentadbiran negara, yang menurutnya menunjukkan sikap tidak menghiraukan kestabilan yang dijanjikan kepada rakyat

“Tindakan UMNO, bukannya DAP, yang telah menjejaskan persefahaman dan menguji batas perjanjian berkenaan,’’ katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here