Shuhaily masih Ketua Pengarah AKPS, PDRM belum terima arahan lanjut – KPN

DATUK Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain masih menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) sementara menunggu arahan lanjut berhubung kedudukannya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya setakat ini belum menerima sebarang arahan rasmi sama ada pegawai kanan polis itu akan dikembalikan semula ke pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, Mohd Shuhaily sebelum ini dilantik secara kontrak selama dua tahun untuk mengetuai AKPS, dengan pelantikan berkenaan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Seperti yang telah saya jelaskan sebelum ini, Datuk Seri Shuhaily adalah seorang pegawai polis yang menjalani kontrak selama dua tahun sebagai Ketua Pengarah AKPS.

“Pelantikan beliau dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong. Jadi saya menunggu arahan lanjut sekiranya beliau dikembalikan kepada PDRM untuk tindakan seterusnya. Setakat ini belum ada lagi apa-apa arahan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan lawatan ke Pusat Mengundi di Sekolah Kebangsaan Tun Syed Ahmad Shahabudin di Ayer Keroh hari ini.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, kerajaan masih belum membuat keputusan berhubung pelantikan Ketua Pengarah baharu AKPS bagi menggantikan Mohd Shuhaily.

Beliau turut memberi jaminan bahawa operasi AKPS akan terus berjalan seperti biasa dan tidak terjejas susulan keputusan mengembalikan Mohd Shuhaily ke pasukan asalnya, PDRM.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here