![]()
MALAM tadi secara rasminya Barisan Nasional (BN) yang bergabung bersama dengan Perikatan Nasional (PN) diisytiharkan memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 apabila menguasai 24 daripada 28 kerusi dipertandingkan manakala empat lagi kerusi kekal di tangan DAP yang mewakli Pakatan Harapan (PH)
BN menepati ramalan menguasai 21 kerusi manakala PN menang tiga kerusi termasuk kemenangan bersejarah di dua kerusi iaitu di Bukit Katil dan Paya Rumput.

Di BUKIT KATIL Ridzuan Sarif daripada Pas menumbangkan Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari yang sudah dua penggal menjadi ADUN di situ dengan majoriti 6,607 undi. Jumlah undi majoriti itu mengatasi majoriti dimenangi oleh Adly pada PRN 2021 iaitu 1,057 undi.
Di PAYA RUMPUT , seorang lagi calon Pas yang mewakili PN, Rafie Ahmad menewaskan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin dengan majoriti 7,185 undi. Jumlah undi majoriti itu jauh mengatasi undi majoriti yang dimenangi Calon BN Datuk Rais Yasin pada 2021 iaitu 629 undi.

Perolehan undi majoriti menakjubkan itu bukan sahaja berlaku di Paya Rumput malah 10 kerusi DUN lain yang dimenangi oleh BN dan PN. Pada 2021 yang menyaksikan BN dan PN belum bekerjasama, kesemua kerusi tersebut dimenangi oleh kedua-dua parti dengan majoriti bawah 1,000 undi.
Pada PRN 2021 DUN SUNGAI UDANG dimenangi oleh PN yang diwakili oleh Bersatu dengan majoriti 530 undi. Bagaimanapun pada kali ini melalui kerjasama BN-PN, kerusi itu diserahkan kepada BN sebagai pertukaran dengan kerusi Paya Rumput. Rais yang bertanding di Paya Rumput pada 2021 beralih angin ke DUN Sungai Udang.

Langkah politik Rais tidak sia-sia apabila menang lebih bergaya melalui majoriti 16, 214 undi selepas meraih 18,317 undi.Beliau menewaskan Calon Bersatu Mejar (B) Abdullah Mahadi (2,103 undi) dan Calon BERSAMA Ridzuan Rahman (1,322 undi).
Pada PRN 2021, DUN SERKAM paling mendapat perhatian apabila ketika itu Calon BN, Zaidi Attan bagaikan ‘bernafas dalam lumpur’ apabila memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 79 undi selepas berjaya menewaskan Calon PN, PH dan Bebas. Saingan sengit diberikan oleh Calon PN daripada Pas, Ahmad Bilal.
Bagaimanapun PRN kali ini melalui kesepakatan BN-PN ia memberi keuntungan kepada Calon BN, Datuk Azman Abdullah apabila menang cemerlang kerusi itu dengan majoriti 12,689 undi -penambahan undi sebanyak 12,610 undi.

DI PENGKALAN BATU, walaupun pada awalnya wujud persoalan sejauh manakah Calon BN Siti Aisyah Mahmood akan mampu mempertahan kerusi tersebut memandangkan parti itu hanya menang dengan undi majoriti 131 undi melalui calonnya sebelum ini iaitu Datuk Kalsom Nordin namun segalanya terjawab apabila Siti Aisyah yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya mencapai kejayan bergaya.
Siti Aisyah memenangi kerusi itu dengan majoriti undi 6,358 undi selepas mendapat 11,836 undi untuk menewaskan Calon BERSAMA Goh Han @ Goh Han Koon (618 undi) dan Jason Tze-XI Nathan (5,578 undi) dan bekas ADUN kawasan itu Datuk Norhizam Hassan Baktee hanya mendapat 876 undi.

DI DUYONG, menang dengan majoriti 200 undi pada PRN 2021 sama sekali tidak melemahkan semangat Calon BN Datuk Mohd Noor Helmy apabila beliau terus bertungkus-lumus berkhidmat kepada rakyat di kawasannya tersebut.Hasilnya, perolehan undi majoriti beliau meningkat kepada 10,040 undi pada PRN kali ini. Beliau yang mendapat 15,067 undi menamatkan cabaran Calon PH Poo Long Suan yang mendapat 5,027 undi.
DI TANJONG BIDARA, kecemerlangan pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka di bawah Ab.Rauf bukan sahaja memberi limpahan kepada kemenangan calon-calon BN lain sahaja malah turut memberi impak besar kepada Ketua Menteri Melaka itu sendiri apabila Ab.Rauf meningkatkan perolehan undi majoriti daripada 364 undi pada PRN 2021 kepada 8,615 undi. Beliau memperoleh 10,079 undi menewaskan Calon PH Yunazri Mustamiri yang mendapat 1,464 undi.
Turut mendapat perhatian ialah kejayaan Dr.Yadzil Yaacub daripada PN mempertahan kerusi BEMBAN yang sebelum ini beliau menangi pada PRN 2021 ketika dalam Bersatu dengan majoriti 328 undi. Beliau yang kini merupakan ahli parti Wawasan meningkatkan undi majoriti beliau kepada 7,741 undi. Beliau mendapat 11,881 undi untuk menewaskan tiga calon daripada Bersatu, BERSAMA dan Bebas.
Kerusi-kerusi lain yang mencatatkan peningkatan undi majoriti menarik melibatkan calon BN ialah Gadek yang mendapat 3,514 undi berbanding 559 undi pada 2021, Durian Tunggal 4,647 undi (559 undi), Rembia 5,993 undi (860 undi), Machap Jaya 2,236 undi (938 undi).

Bagi empat kerusi PH yang kesemua dimenangi oleh DAP, secara keseluruhnya majoriti undi tidak banyak berubah.Walaupun ada penurunan tetapi ia sama sekali tidak boleh menafikan keempat-empat kerusi tersebut adalah kubu kuat pakatan berkenaan. Di AYER KEROH calon gabungan itu, Kerk Chee Yee menang dengan majoriti 5,604 undi berbanding 5,624 undi pada 2021. Beliau menewaskan tiga calon lain dari PN,Bersatu dan Bersama. Di DUN KESIDANG, Calon PH Allex Seah Shoo Chin menang dengan majoriti 9,352 undi berbanding perolehan majoriti undi pada 2021 iaitu 10,237 undi.
Walaupun undi majoriti sedikit merosot namun DUN KOTA LAKSAMANA kekal menjadi ‘kota kebal’ untuk DAP apabila calonnya Low Chee Leong menang dengan majoriti 9,424 undi berbanding 11,494 undi pada 2021 selepas menewaskan dua calon dari BN dan BERSAMA. Kerusi terakhir yang berjaya dipertahan oleh PH ialah BANDAR HILIR apabila calonnya Lee Chau Yen menang dengan majoriti 7,857 undi berbanding 7,778 undi pada 2021 (tambahan 79 undi).





