![]()
SELEPAS derita di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kemudiannya ‘sengsara’ di Negeri Sembilan (NS) dan semalam ‘meratap’ di Melaka, banyak penyokong Pakatan Harapan (PH) – gabungan yang disertai PKR, DAP dan Amanah tertanya-tanya apa sudah jadi dengan kekuatan parti itu dalam pilihan raya.
Malah mereka juga tertanya-tanya apa sudah jadi dengan jentera pilihan raya PH, kenapa selepas ‘bungkus’ di Johor dan ‘tersungkur’ di Negeri Sembilan jentera gabungan itu tidak bangkit bagi memastikan di Melaka PH tidak ‘tersembam’. Siapa sebenarnya bertanggungjawab? Pengarah Pilihan Raya PH Datuk Seri Amirudin Shari atau Pengarah negeri?
Kenapakah apabila PH kalah, contohnya di Melaka yang menjadi sasaran ialah pemimpin-pemimpin lain yang ada antara mereka tidak terlibat langsung dalam gerak kerja pilihan raya tersebut. Untuk mencari salah memang mudah, nak menuduh orang memang senang tetapi adakah itu akan memanfatkan parti?
Justeru mahu tidak mahu sebagai Pengarah Pilihan Raya, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor perlu mengambil tanggungjawab bagi memperbetulkan keadaan. Tidak boleh lagi sekadar memberi alasan sebaliknya harus benar-benar melakukan post mortem demi mengelakkan PH terus ‘tidak bernafas’ dalam pilihan raya selepas ini.
Amirudin mesti tampil memberi penjelasan dan menerangkan secara terperinci kepada penyokong-penyokong PH apa beliau akan lakukan khususnya dalam menghadapi PRU tidak lama lagi. Menteri Besar Selangor itu perlu jelaskan kenapa strategi di tiga negeri itu gagal atau sememangnya PH turun ke gelanggang tanpa strategi?
Kita akui, di setiap negeri memang ada Pengarah Pilihan Raya Negeri. Di Melaka ada Adly Zahari, di Johor ada Aminolhuda Hassan, di Negeri Sembilan pula gerak kerja awal diuruskan oleh Datuk Seri Aminuddin Harun. Tetapi di atas mereka semua, ada Amirudin sebagai Pengarah Pilihan Raya PH Nasional.
Justeru kalaupun ada mana-mana pihak mahu menyerang pemimpin PH apabila pakatan itu kalah dalam pilihan raya, biarlah Amirudin yang memikul tanggungjawab tersebut. Ia bukan bermaksud beliau bersalah tetapi harus memperbetulkan kelemahan dan memperkemas strategi.
Langkah itu juga bagi memastikan tiada pemimpin PH lain yang menjadi sasaran dipersalahkan melalui serangan dalam media sosial oleh penyokong-penyokong pakatan tersebut.
Sebagai Pengarah Pilihan Raya, Amirudin bertanggungjawab untuk menentukan strategi yang akan digunakan bagi setiap negeri. Ia memandangkan sudah pastilah di setiap negeri perlu ada pendekatan berbeza, tak naklah bila kalah sahaja ayat yang keluar dari mulut,’’ kita akan ambil tanggungjawab dan akan melakukan post mortem’.
Anehnya kalaulah kekalahan di Johor sudah dibuat post mortem, mesti PH akan lebih baik di Negeri Sembilan tetapi di negeri itupun PH ‘hanyut’ dan ia seterusnya ‘berjangkit’ ke Melaka. Semua ini memerlukan jawapan daripada Amirudin apatah lagi adalah laporan yang mengaitkan kekalahan PH di negeri Hang Tuah adalah akibat strategi mahu bekerjasama dengan Bersatu.
Benarkah begitu? Sememangnya kita tidak akan mendapat kepastian selagi Amiruddin tidak membentangkan secara terbuka apa yang berlaku di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka….kenapa perlu berbuat demikian? Sebabnya mudah beliau adalah Pengarah Pilihan Raya PH bukan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Fuziah Salleh atau Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Sebagai seorang yang mentadbir Selangor yang cemerlang dari segi pentadbiran negeri dan menangani cabaran politik di negeri itu pastinya Amiruddin tidak akan keberatan menjelaskan kegagalan strategi pilihan raya di Johor,Negeri Sembilan dan Melaka. Jika beliau sendiri tidak ada jawabannya…apakah mungkin PH perlu menggantikan orang lain sebagai Pengarah Pilihan Raya?





