SEORANG sarjan polis antara dua individu yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 52.8 Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), berhampiran Desaru, awal pagi ini.
Mangsa, Sarjan Jorari Jusoh, 58, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, memandu Proton X50, manakala seorang lagi mangsa, Nurul Syifa’ Mohd Kasimi, 26, yang memandu Proton Persona, bekerja sebagai jurutera di Pengerang.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, siasatan awal mendapati Proton Persona dipandu wanita itu dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Kenderaan itu kemudian bertembung dengan Proton X70 dan sebuah Toyota Unser yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat perlanggaran itu, pemandu Proton Persona dan Proton X70 mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemandu Toyota Unser, lelaki tempatan berusia 23 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kedua-dua mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.





