POLIS percaya sindiket penyeludupan manusia di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand, khususnya Sungai Kelantan, akan mengambil kesempatan daripada musim Monsun Timur Laut untuk meneruskan kegiatan mereka.
Komander Polis Marin Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Mohd Khairuddin Jamal berkata, pihaknya menjangkakan kemungkinan peningkatan aktiviti itu ketika musim monsun berikutan tumpuan anggota turut diperlukan bagi operasi bantuan dan menyelamat mangsa banjir.
Sehubungan itu, katanya, perancangan dibuat untuk membahagikan anggota serta aset sedia ada bagi memastikan operasi berkaitan monsun dan pencegahan jenayah di perairan Kelantan dapat dilaksanakan serentak.
“Kita percaya sindiket akan mengambil kesempatan daripada musim Monsun Timur Laut memandangkan Polis Marin akan memberi tumpuan kepada operasi banjir, termasuk memindahkan dan menyelamatkan mangsa.
“Bagaimanapun, kita juga mempunyai pasukan khas untuk menangani jenayah di perairan kita, khususnya di Kelantan. Bukan semua pegawai dan anggota akan terbabit dalam operasi monsun.
“Kita sudah merancang untuk membahagikan tenaga kerja sedia ada antara tugas berkaitan monsun dan usaha mencegah jenayah di perairan kita,” katanya ketika dihubungi, lapor BH.
Mohd Khairuddin berkata, dakwaan pembabitan segelintir penduduk kampung dalam kegiatan sindiket turut menjadi cabaran kepada pihaknya.
Justeru, Polis Marin akan mempergiat pendekatan dengan masyarakat yang tinggal di sepanjang tebing sungai dan kawasan pesisir pantai bagi mendapatkan maklumat risikan lebih tepat berhubung kegiatan jenayah.





