SEORANG wanita berstatus isteri orang ditahan bersama seorang lelaki bujang dalam serbuan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sebuah rumah kedai di Taman Scientex, Kulai, malam tadi.
JAINJ dalam kenyataannya memaklumkan, wanita berusia 40 tahun itu ditemukan berdua-duaan dengan lelaki berusia 30 tahun kira-kira jam 11.15 malam.
“Siasatan awal mendapati kedua-duanya dipercayai bekerja di tempat yang sama di Senai dan mula berkenalan menerusi media sosial lebih setahun lalu.
“Wanita itu sebelum ini dikatakan tinggal bersama suami serta anak-anaknya di sebuah negeri di Pantai Timur sebelum datang ke Senai atas alasan mencari pekerjaan.
“Pasangan berkenaan dipercayai menyewa sebuah bilik di rumah sewa sama untuk tinggal bersama sejak sebulan lalu sebelum kegiatan mereka dilaporkan kepada pihak penguat kuasa JAINJ,” katanya.
Menurut JAINJ, pelbagai alasan diberikan kedua-duanya, termasuk mendakwa berkongsi bilik sewa bagi menjimatkan perbelanjaan.
Kedua-dua mereka akan didakwa mengikut Seksyen 27 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana kesalahan berkhalwat.



