Isteri orang sanggup redah 100km jumpa kekasih, dicekup khalwat

SEORANG wanita yang masih berstatus isteri orang sanggup meredah perjalanan kira-kira 100 kilometer untuk bertemu seorang lelaki warga emas sebelum mereka dicekup kerana disyaki berkhalwat, kelmarin.

Wanita berusia 40-an itu ditahan bersama pasangannya, lelaki berusia 60-an yang juga duda, dalam serbuan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sebuah rumah kampung di daerah ini, kira-kira jam 11.40 pagi.

Menurut JAINJ, serbuan dilakukan susulan aduan awam yang diterima pihaknya sebelum sepasukan penguat kuasa bergerak ke rumah lelaki berkenaan.

“Sebaik tiba di lokasi, penguat kuasa melihat kereta milik lelaki dan wanita terbabit lalu mengetuk pintu.

“Ketika itu, pintu didapati berkunci dari dalam dan ia dibuka kira-kira lima minit kemudian oleh seorang lelaki yang memakai seluar panjang dan baju T,” katanya dalam kenyataan.

Penguat kuasa kemudian memperkenalkan diri dan meminta kebenaran untuk menjalankan pemeriksaan sebelum lelaki terbabit mendakwa dia tinggal berseorangan di rumah berkenaan.

Bagaimanapun, penguat kuasa berasa curiga lalu menjalankan pemeriksaan lanjut dan mendapati sebuah bilik tertutup namun tidak berkunci.

“Apabila membukanya, ternampak seorang wanita memakai seluar panjang dan baju T,” katanya.

Menurut JAINJ, pasangan berkenaan kelihatan gelisah ketika disoal siasat sebelum mengaku mereka tidak mempunyai sebarang ikatan.

Hasil siasatan mendapati wanita terbabit datang dari daerah lain dan menyelinap masuk ke rumah lelaki berkenaan kira-kira jam 9 pagi.

“Apabila ditanya berada di rumah itu, wanita memberitahu dia hanya tumpang berehat dan tidak melakukan perbuatan tidak senonoh.

“Wanita ini memberitahu dia berdepan masalah rumah tangga dan dalam proses perceraian.

“Lelaki itu pula sudah beberapa tahun berstatus duda dan berhasrat untuk menjadikan wanita itu sebagai isteri namun menunggu proses cerai selesai,” katanya.

JAINJ berkata, berdasarkan maklumat pengadu, wanita berkenaan dipercayai kerap datang ke rumah lelaki terbabit ketika lelaki itu berseorangan.

Pasangan itu ditahan untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here