MDKD 2026: Komuniti Sentul didedah penggunaan AI, keselamatan digital

MASYARAKAT di kawasan Sentul diberi pendedahan mengenai penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan digital menerusi Program Minggu Digital Kementerian Digital 2026 (MDKD2026) Edisi Lembah Klang di Pusat Komuniti Sentul Perdana, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

Program anjuran Kementerian Digital itu bertujuan memperkukuh literasi digital masyarakat, selain meningkatkan kesedaran mengenai penggunaan teknologi secara selamat, berkesan dan bertanggungjawab.

Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Fabian Bigar berkata, agenda pendigitalan negara hanya akan memberi makna sekiranya manfaatnya dapat dirasai masyarakat hingga ke peringkat akar umbi.

Beliau berkata, penganjuran program seumpama itu menjadi platform untuk membawa pelbagai inisiatif, perkhidmatan dan pengetahuan digital secara terus kepada masyarakat.

“Pendedahan kepada kecerdasan buatan (AI) dan amalan keselamatan digital yang betul merupakan asas penting bagi membolehkan komuniti memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan kesejahteraan hidup serta meneroka peluang ekonomi,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan.

MDKD2026 Edisi Lembah Klang memberi tumpuan kepada empat bidang utama iaitu pendedahan teknologi AI, kepercayaan digital, kesejahteraan siber serta peluasan akses kepada perkhidmatan digital kerajaan.

Antara pengisian disediakan adalah sesi pengenalan AI dan AI generatif selama dua jam oleh perusahaan sosial Pepper Labs Sdn. Bhd., selain ceramah kesedaran penipuan digital bersama penceramah daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

Program itu turut menampilkan sesi keibubapaan pintar di era digital bagi membimbing ibu bapa memastikan anak-anak menggunakan teknologi secara selamat dan seimbang, serta perkongsian mengenai penggunaan AI secara beretika bersama CelcomDigi.

Selain itu, MyDigital Corporation mengadakan taklimat Inisiatif Rakyat Digital bagi memberi penerangan mengenai pelbagai kemudahan dan program pendigitalan yang boleh dimanfaatkan masyarakat.

Program berkenaan turut menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan rakan strategik menerusi reruai pameran, demonstrasi teknologi serta khidmat penerangan berkaitan perkhidmatan digital.

Antara inisiatif diperkenalkan termasuk Portal MyGovernment dan Aplikasi MyGOV Malaysia, perlindungan data peribadi, identiti digital, teknologi 5G serta aplikasi AI dalam pembelajaran dan urusan harian.

Pengunjung turut berpeluang mendapatkan maklumat mengenai pendigitalan perniagaan, pembangunan kemahiran AI, pendidikan kewangan, pengurusan kredit dan perkhidmatan kebajikan masyarakat.

Bagi menggalakkan penyertaan komuniti, program itu turut menyediakan Jualan RAHMAH MADANI dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), pertandingan mewarna bertemakan ‘Dunia AI dan Masa Depan Digital’ untuk kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun serta cabutan bertuah.

Kementerian Digital berkata, usaha memperluas akses kepada pengetahuan dan kemahiran digital akan diteruskan menerusi pendekatan yang lebih dekat dengan masyarakat bagi memastikan rakyat mempunyai kefahaman dan keyakinan menggunakan teknologi secara selamat serta bertanggungjawab.

Inisiatif itu juga selari dengan aspirasi Malaysia menuju Negara AI 2030, seiring perkembangan ekosistem digital negara.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here