POLIS membongkar kegiatan penyimpanan dan pengedaran minuman keras disyaki tidak bercukai kastam selepas menyerbu sebuah premis di Penampang bulan lalu, dengan rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM13.98 juta.
Serbuan pada 27 Oktober itu membawa kepada penemuan 433,296 tin minuman keras pelbagai jenis dan jenama, selain dua lori serta dua van yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.
Tiga lelaki warga asing berusia lingkungan 30 hingga 40-an yang dipercayai bekerja di premis itu turut ditahan bagi membantu siasatan.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, serbuan berkenaan merekodkan nilai rampasan tertinggi daripada enam siri operasi penguatkuasaan yang dijalankan di Sabah.
Katanya, operasi bersepadu menerusi Op Taring Alpha 2 dan Op Taring Alpha 5 dilaksanakan dari 22 hingga 27 Oktober lalu meliputi Kota Kinabalu, Manggatal, Inanam, Putatan, Tamparuli dan Penampang.
“Keseluruhan enam siri operasi itu berjaya merekodkan rampasan bernilai RM16.88 juta membabitkan minuman keras tidak bercukai kastam, produk makanan, kesihatan dan kosmetik serta kenderaan.
“Daripada jumlah itu, rampasan minuman keras mencatatkan nilai tertinggi iaitu RM14.95 juta, diikuti produk makanan, kesihatan dan kosmetik bernilai RM675,112 serta kenderaan berjumlah RM1.25 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Mess Pegawai Ibu Pejabat Briged Sabah, Pasukan Gerakan Am (PGA) Kinarut di Penampang hari ini.
Menurut Mohd Yusri, siasatan awal mendapati premis yang diserbu dipercayai dijadikan tempat penyimpanan sementara sebelum bekalan minuman keras berkenaan diedarkan ke pasaran.
Katanya, kegiatan itu dipercayai dikendalikan sindiket terancang yang mempunyai rangkaian pembekalan dan pengedaran, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti dalang serta individu lain yang terbabit.
“Siasatan mendapati bekalan barangan bagi beberapa premis dipercayai diperoleh daripada pembekal tempatan dan luar negara sebelum diedarkan kepada pelanggan.
“Apa yang lebih membimbangkan, terdapat premis yang dipercayai sudah menjalankan kegiatan perniagaan berkenaan sejak dua hingga 16 tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, polis kini mempergiat usaha mengesan keseluruhan rangkaian sindiket termasuk pembekal, pengimport, penyimpan dan pengedar yang dipercayai terbabit dalam kegiatan itu.





