KESAN halusinasi akibat pengambilan dadah dipercayai mendorong seorang lelaki bertindak menjerut leher ibunya sehingga wanita itu maut dalam kejadian di sebuah rumah di Kuala Langat pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek yang juga anak mangsa positif dadah jenis methamphetamine.
“Punca kejadian dipercayai kerana halusinasi dadah.
“Siasatan lanjut dijalankan termasuk mengambil keterangan beberapa saksi termasuk ahli keluarga mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Sinar Harian.
Sebelum ini, suspek direman selama tujuh hari sehingga 20 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang Jumaat lalu, Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada Pusat Panggilan Kecemasan MERS 999.
Pemeriksaan awal mendapati mangsa yang berusia lingkungan 50-an dipercayai dibunuh dengan cara dijerut pada bahagian leher.
Polis kemudian menahan anak lelaki mangsa yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Langat menerusi talian 03-3187 2222 bagi membantu siasatan.





