Sanusi akui litar lumba Sungai Petani tak penting tapi terpaksa diteruskan

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberitahu projek Litar Lumba Sungai Petani bernilai RM46 juta yang menjadi kontroversi bukan keutamaan kerajaan negeri untuk dibangunkan.

Beliau berkata, projek yang dilaksanakan secara inisiatif pembiayaan swasta (IPF) itu terpaksa diteruskan kerana ia telah menggunakan RM10 juta wang kerajaan yang disalurkan daripada keseluruhan RM30 juta, sebelum ini.

Kata Muhammad Sanusi, projek tersebut adalah manifesto pilihan raya pada 2013 yang diumumkan Barisan Nasional (BN) oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menawan kembali negeri Kedah yang sebelum itu ditadbir Pas.

“Orang yang nak ambil kerajaan selepas itu buat satu manifesto dan diumumkan oleh Perdana Menteri pada masa itu nak bina satu litar lumba untuk anak-anak muda, tujuannya nak ambil hati pengundi-pengundi muda la kot (maka) nak buat la litar ini.

“Bagi kita pada masa itu kita tidak meletakkan litar ini sebagai keutamaan kerajaan kerana ia tidak begitu penting. Sampai lah sekarang pun bukan penting sangat tapi dah ada, telah dimulakan dan telah dibelanjakan RM10 juta maka mau tak mau kerajaan kena teruskan,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

Tambah beliau, peruntukan asal RM30 juta yang disalurkan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) masih berbaki RM20 juta sehingga kini yang tidak pernah dibelanjakan untuk tujuan lain melainkan berkaitan projek litar lumba tersebut.

Muhammad Sanusi berkata, ketika mengambil alih pentadbiran Kedah pada 17 Mei 2020, kerajaan negeri menilai semula keperluan projek itu selepas cadangan awal membangunkan litar bertaraf antarabangsa setanding Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan kos RM75 juta tidak dapat diteruskan berikutan beberap faktor termasuk Covid-19.

“Saya habaq banyak kali ini bukan projek saya, bukan projek kerajaan hat dok ada la ni. Ini projek lama yang diteruskan kerana telah dibuat perbelanjaan. Oleh kerana masa itu sama-sama parti di peringkat Persekutuan dan negeri maka senang lah dapat duit, bagi lah RM30 juta.

“Ia telah diguna untuk buat kerja-kerja tanah dan jalan masuk, kerja-kerja tanah dilantik anak syarikat kerajaan buat, habis RM10 juta tapi tanah itu statusnya bukan tanah kerjaan. Duit kerajaan tapi tanah yang telah dilupuskan kepada Perbadanan Menteri Besar (MBI),” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, projek itu dijangka dapat disiapkan pertengahan tahun depan dengan fasa awal pembangunan membabitkan kerja infrastruktur, penyediaan tempat letak kereta dan pembinaan litar drag dengan kos RM16 juta melalui kaedah IPF.

“Projek ini mengalami pemberhentian kerja kira-kira dua tahun, iaitu dari Ogos 2023 hingga Ogos 2025 susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Selepas keputusan tiada tindakan lanjut (NFA) diperoleh, pihak Open Road bersama kontraktor mengambil inisiatif meneruskan pelaksanaan projek menggunakan pembiayaan sendiri,” katanya.

Mengulas siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) berhubung kes pecah amanah RM40 juta, beliau berkata, kerajaan negeri setakat ini tidak menerima sebarang maklumat atau pengesahan yang mengaitkan siasatan itu dengan kelewatan projek berkenaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here