Anwar hargai layanan China, mahu perkukuh kerjasama dua hala

DATUK Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada kerajaan China atas sambutan mesra dan layanan baik yang diberikan sepanjang lawatan kerja beliau ke Hangzhou dan Shanghai, September lalu.

Perdana Menteri berkata, layanan itu mencerminkan hubungan persahabatan erat antara Malaysia dan China yang terus diperkukuh menerusi kerjasama dalam pelbagai bidang.

Anwar berkata, komitmen kedua-dua negara untuk memperluas kerjasama sedia ada penting bagi memastikan hubungan itu terus membawa manfaat kepada rakyat Malaysia dan China.

“Saya turut menzahirkan penghargaan terhadap kemajuan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang serta komitmen bersama untuk terus memperluas ruang kerjasama yang membawa manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut menyatakan harapan agar penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Shenzhen pada 18 dan 19 November ini dapat membuka lebih banyak peluang untuk memperkukuh hubungan ekonomi kedua-dua negara.

Anwar berkata, beliau menantikan penyertaan Malaysia dalam sidang kemuncak itu, termasuk Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) APEC yang akan dihoskan Presiden China, Xi Jinping.

Terdahulu, Anwar mengadakan lawatan kerja selama tiga hari ke China dari 22 hingga 24 September lalu atas undangan kerajaan negara itu, dengan mengunjungi Shanghai dan Hangzhou.

Lawatan berkenaan merangkumi penyertaan dalam Pertandingan WorldSkills ke-48 di Shanghai dan Ekspo Perdagangan Digital Global (GDTE) Kelima di Hangzhou, selain pertemuan dua hala dengan Premier China, Li Qiang bagi membincangkan pengukuhan kerjasama antara kedua-dua negara.

Pertemuan itu turut memberi ruang kepada kedua-dua pemimpin meneliti perkembangan hubungan strategik Malaysia-China serta meneroka peluang kerjasama baharu dalam bidang ekonomi, perdagangan digital dan pembangunan kemahiran.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here