SEORANG guru wanita berusia 54 tahun mengalami kerugian RM748,326.50 selepas diperdaya sindiket penipuan telefon yang menyamar sebagai kakitangan hospital dan pegawai polis, Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa pada mulanya menerima panggilan daripada individu tidak dikenali yang mengaku bertugas di sebuah hospital swasta di Rawang, Selangor.
Katanya, suspek mendakwa terdapat pihak lain menggunakan nama mangsa untuk membuat tuntutan insurans sebelum menyambungkan panggilan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis Bukit Aman.
Menurutnya, individu terbabit kemudian mendakwa boleh membantu mangsa membuat laporan polis secara dalam talian bagi tujuan siasatan.
“Suspek meminta mangsa menyerahkan kad pengeluaran wang automatik (ATM) miliknya untuk diserahkan kepada pihak Bank Negara Malaysia (BNM).
“Mangsa yang mempercayai arahan itu kemudian meletakkan kad ATM berkenaan di sebuah gerai nasi lemak berhampiran rumahnya pada 3 September lalu seperti diarahkan suspek.
“Pada 4 September, mangsa turut memasukkan wang berjumlah RM75,000 ke dalam tiga akaun bank berbeza secara berperingkat menggunakan mesin ATM dan mesin deposit tunai (CDM),” katanya dalam kenyataan.
Shahrulanuar berkata, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas membuat semakan akaun bank minggu lalu dan mendapati beberapa transaksi pemindahan wang kepada individu tidak dikenali berjumlah RM673,326.50.
Katanya, pada 15 November lalu, mangsa menceritakan kejadian itu kepada kakaknya sebelum dimaklumkan bahawa dia sudah menjadi mangsa penipuan.
Keseluruhan kerugian dialami mangsa dianggarkan RM748,326.50 dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang mendakwa mewakili jabatan atau agensi kerajaan tanpa membuat pengesahan terlebih dahulu dengan pihak berkenaan.





