SEORANG lelaki yang didakwa mengacukan parang ketika memandu kereta di sekitar Felda Jelai, Gemas, di Tampin, ditahan polis malam tadi.
Suspek berusia 28 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori itu diberkas sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tampin kira-kira jam 9 malam hasil maklumat dan risikan.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, penahanan dibuat selepas tular mesej amaran keselamatan di media sosial semalam berhubung tindakan pemandu Proton Persona yang didakwa menunjukkan senjata berkenaan.
Menurutnya, polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 1.27 petang semalam, manakala insiden dipercayai berlaku kelmarin.
“Permohonan reman terhadap suspek dilakukan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Majistret Tampin pagi ini,” katanya.
Beliau berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana membawa senjata berbahaya di tempat awam serta Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan cuai yang membahayakan keselamatan orang lain.
Terdahulu, tular teks amaran kepada penduduk sekitar Felda Jelai mengenai tindakan seorang lelaki yang didakwa memandu Proton Persona sambil menunjukkan parang.





