IDENTITI dua lelaki yang rentung dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Jaya Diri, Rengit, Batu Pahat, malam tadi, sudah dikenal pasti.
Mangsa ialah Kamal Nur Hafizi Miskat, 22, dan Muhammed Erfan, 17, yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, nahas kira-kira jam 8.20 malam itu turut menyebabkan dua beranak yang menaiki Proton Wira cedera dan dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Saga BLM dinaiki kedua-dua mangsa hilang kawalan selepas melalui selekoh sebelum memasuki laluan bertentangan.
Sebelum kejadian, Proton Wira dipandu lelaki berusia 37 tahun bersama ibunya berusia 60 tahun dalam perjalanan dari Kampung Sungai Dulang Darat menghala ke pekan Rengit.
“Apabila tiba di lokasi, Proton Saga BLM yang datang dari arah bertentangan dipercayai terbabas dan memasuki laluan Proton Wira sebelum kedua-dua kenderaan bertembung.
“Proton Saga BLM kemudian melanggar tiang elektrik di tepi jalan sebelum terbakar, menyebabkan pemandu dan penumpangnya rentung.
“Pemandu Proton Wira bersama ibunya pula cedera dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan.
Shahrulanuar Mushaddat berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran.





