TAKTIK seorang lelaki menyorok di belakang pintu tandas sebuah inap desa bagi mengelak pemeriksaan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) gagal apabila dia dicekup berkhalwat bersama seorang wanita berstatus janda, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.10 pagi itu, pemeriksaan mendapati pintu bilik inap desa berkenaan dibuka seorang wanita yang hanya berkemban dan memakai baju tanpa lengan.
Menurut JAINJ, penguat kuasa kemudian memperkenalkan diri sebelum masuk ke bilik berkenaan untuk menjalankan pemeriksaan.
“Penguat kuasa JAINJ kemudiannya menolak pintu tandas sebelum menemui seorang lelaki sedang bersembunyi di belakang pintu.
“Lebih mengejutkan, lelaki terbabit hanya memakai seluar dalam tanpa berbaju,” katanya.
Menurutnya, hasil soal siasat mendapati kedua-duanya yang berusia lingkungan 20-an mengaku bukan pasangan suami isteri, sebaliknya sudah lama mengenali antara satu sama lain sejak zaman persekolahan.
“Apabila ditanya tujuan menyewa bilik inap desa berkenaan, mereka mendakwa hanya mahu berehat dan meluangkan masa bersama.
“Pasangan itu turut mengakui mempunyai hasrat untuk mendirikan rumah tangga namun belum menetapkan sebarang tarikh pernikahan,” katanya.
Pasangan itu kemudian ditahan kerana disyaki berkhalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997 untuk tindakan lanjut dan pendakwaan di Mahkamah Syariah.


