Ada sejarah halusinasi, penceroboh Wisma Darul Aman dibenar jalani pemeriksaan mental

LELAKI yang didakwa mengacukan pisau terhadap pembantu keselamatan ketika menceroboh kawasan Wisma Darul Aman, Alor Setar, 15 November lalu, dibenarkan menjalani pemeriksaan kesihatan mental selepas pihak pembelaan memaklumkan dia mempunyai sejarah halusinasi.

Mohd Affandi Hashim, 45, dibenarkan menjalani pemeriksaan itu oleh Hakim Sharmila Abdul Samad di Mahkamah Sesyen, hari ini, selepas peguam bela mengemukakan permohonan mengikut Seksyen 342(1) Kanun Tatacara Jenayah.

Peguam bela, Ilyana Syafiqa Md Saad berkata, pihaknya memohon supaya tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, bagi menjalani pemeriksaan psikiatri, lapor Buletin TV3.

“Berdasarkan maklumat awal daripada pihak keluarga, Orang Kena Tuduh (OKT) memang mempunyai sejarah halusinasi sebelum ini.

“Pihak kami memohon supaya tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia bagi menjalani pemeriksaan untuk memastikan sama ada OKT berada dalam keadaan sempurna akal ketika kejadian dan berupaya menyediakan pembelaan sekiranya perbicaraan dijalankan,” katanya ketika mengemukakan permohonan berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin tidak membantah permohonan itu dan memaklumkan pihak pendakwaan bersetuju tertuduh menjalani pemeriksaan mental di hospital berkenaan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta bagi menjalani pemeriksaan serta mendapatkan laporan lengkap.

Terdahulu, tertuduh mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan atas dua pertuduhan yang dikemukakan.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki sebilah pisau bersarung hitam berukuran kira-kira 15 sentimeter tanpa kebenaran sah di kawasan Wisma Darul Aman, kira-kira jam 8.10 pagi, 15 November lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Dia turut didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan Wisma Darul Aman tanpa kebenaran dengan niat melakukan jenayah, mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga enam bulan atau didenda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan memaklumkan tidak menawarkan jaminan bagi pertuduhan pertama kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin mengikut Seksyen 6(4) akta berkenaan.

Kes disebut semula pada 15 Disember depan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here