LEMBAGA Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menegaskan penilaian terhadap pembida bagi cadangan transaksi membabitkan Boustead Plantations Berhad (BPlant) dilaksanakan secara kompetitif, telus dan berpandukan kriteria yang ditetapkan lebih awal.
LTAT dalam kenyataan hari ini berkata, setiap keputusan pelaburan dibuat berasaskan prinsip integriti dan tadbir urus baik dengan mengambil kira kepentingan pihak berkepentingan, khususnya anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang juga pencarum lembaga itu.
Menurutnya, antara aspek utama penilaian adalah status pemerbadanan syarikat, keupayaan menyempurnakan urus niaga, kesesuaian strategik serta komitmen jangka panjang terhadap pihak berkepentingan.
“Status pemerbadanan pembida mesti dikenal pasti sebagai Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan/atau syarikat Bumiputera, serta disahkan oleh penasihat pihak ketiga yang bebas.
“Hanya calon yang memenuhi syarat ini dipelawa untuk membida,” menurut kenyataan itu.
Semalam, Jaringan Anak Seni dan Usahawan (JASANUSA) menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan melupuskan aset hartanah milik LTAT kepada syarikat swasta bagi mengelakkan tindakan itu menjejaskan kepentingan jangka panjang pencarum, khususnya anggota dan bekas anggota ATM.
Presidennya, Samsudin Awang dilaporkan berkata, prestasi semasa BPlant, anak syarikat LTAT yang mencatatkan keuntungan, menunjukkan aset berkenaan masih mempunyai nilai ekonomi yang besar untuk dipertahankan.
LTAT dalam pada itu berkata, aspek kepastian pelaksanaan turut dinilai berdasarkan kemampuan pembiayaan yang terbukti, manakala kesesuaian strategik ditentukan melalui keupayaan dan komitmen setiap pembida, bukannya semata-mata berdasarkan saiz syarikat.
Selain itu, kesinambungan komitmen sedia ada terhadap komuniti Angkatan Tentera turut menjadi antara pertimbangan dalam proses penilaian berkenaan.
Menurut LTAT, setiap aktiviti pelaburannya juga tertakluk kepada proses kelulusan ketat yang melibatkan Panel Pelaburan, Lembaga Pengarah serta pihak berkuasa kawal selia berkaitan.
Mengulas lanjut cadangan transaksi BPlant, LTAT mengesahkan semua pembida yang terlibat adalah GLC dan/atau syarikat Bumiputera, selaras dengan garis panduan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Katanya, proses penilaian bidaan dilaksanakan secara teratur dengan mengambil kira semua kriteria ditetapkan bagi memastikan tadbir urus serta kredibiliti LTAT terus terpelihara.
Bagaimanapun, LTAT memaklumkan transaksi berkenaan masih dalam proses dan belum ada sebarang perjanjian muktamad dimeterai.
“LTAT hanya akan membuat pengumuman dan pendedahan yang sewajarnya pada masa yang bersesuaian, mengikut keperluan,” menurut kenyataan itu.
LTAT menegaskan pihaknya akan terus melaksanakan mandat pelaburan secara tegas dan bertanggungjawab dengan mengutamakan kepentingan pencarum dalam setiap keputusan yang dibuat.





