SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Biro Mencegah Rasuah (BMR) Brunei komited memperkukuh kerjasama dua hala bagi meningkatkan keberkesanan usaha membanteras rasuah menerusi perkongsian kepakaran dan pengalaman.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, hubungan mesra yang sekian lama terjalin antara kedua-dua agensi perlu terus diperkasakan demi kepentingan bersama.
Beliau berkata, komitmen itu turut dizahirkan menerusi penganjuran Mesyuarat Tahunan Kerjasama Dua Hala Kali Ke-17 antara SPRM dan BMR Brunei yang berlangsung di Cyberview Resort & Spa di Cyberjaya semalam.
Menurutnya, kehadiran delegasi BMR Brunei mencerminkan kesungguhan kedua-dua pihak untuk mengekalkan hubungan profesional serta memperluas kerjasama dalam bidang pencegahan dan penguatkuasaan rasuah.
“Mesyuarat kali ini turut merangkumi empat pembentangan kertas kerja oleh kedua-dua agensi yang memberi tumpuan khusus kepada bidang operasi dan pencegahan rasuah.
“Perkongsian ini dijangka memberi manfaat besar kepada kedua-dua pihak, terutama dalam meningkatkan keupayaan serta keberkesanan pelaksanaan fungsi masing-masing,” katanya dalam ucapan aluan sempena mesyuarat berkenaan.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Penolong Pengarah merangkap Ketua Bahagian Penyiasatan 2 BMR, Rahimah Hassan serta pengarah kanan, pengarah bahagian dan negeri SPRM dan pegawai kanan BMR Brunei.
Abd Halim berharap, perbincangan yang diadakan dapat menghasilkan langkah praktikal bagi memperkukuh hubungan profesional dan kerjasama antara kedua-dua agensi.
Sementara itu, Pengarah BMR Brunei, Syed Azmal Syed Ali berkata, mesyuarat dua hala berkenaan sentiasa menjadi keutamaan pihaknya kerana mencerminkan hubungan persaudaraan erat yang sekian lama terjalin antara kedua-dua agensi.
Katanya, hubungan bilateral itu terus diperkukuh menerusi persefahaman pada peringkat tertinggi pentadbiran kedua-dua negara.
Beliau turut menghargai kesediaan SPRM berkongsi kepakaran dalam pelbagai bidang bagi membuka lebih banyak ruang kerjasama serta meningkatkan keupayaan kedua-dua agensi.
“Saya berharap jalinan kerjasama ini akan terus kekal mampan dan meneroka dimensi baharu pada masa hadapan, terutamanya dalam aspek teknologi, risikan, penyiasatan serta kaedah pencegahan rasuah,” katanya.





