Krisis  NS hampir berakhir, jangan ada ‘batu api’ lagi

SEMALAM hantaran dalam Facebook Datuk Ismail Lasim yang memaparkan Menteri Besar Negeri Sembilan (NS) itu  menghadiri majlis perjumpaan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri mendapat respons amat positif daripada netizen.

Wajah ceria Ismail ketika pertemuan dengan Akhmal Abu Basar, Setiausaha Bahagian (SUB) Bahagian Pengurusan Sumber Manusia yang baharu dan Zairil Azwan  Zulmuji yang akan berpindah ke Kementerian Pendidikan Malaysia memberi petanda bahawa kemelut di negeri Adat perpatih itu hampir ke penghujungnya

Dan semalam media melaporkan bahawa Ismail akan meneruskan tugasnya sebagai Menteri Besar dan dijadual menghadap Tuanku Muhriz esok bagi membincangkan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Perkenan Tuanku Muhriz menerima menghadap Ismail kelmarin dan esok memberi petanda jelas bahawa isu peletakan jawatan ADUN Juasseh itu sebagai Menteri Besar sudah tidak relevan lagi untuk diperbincangkan dan diperdebatkan. Malah isu BN mengumumkan peletakan jawatan beliau dan menghantar nama calon pengganti manakala  UMNO Negeri Sembilan mengadakan sidang akhbar mengucapkan terimakasih atas khidmat tiga bulan Ismail pun sudah tidak molek untuk diperkatakan.

Apa yang penting sekarang hubungan antara Ismail dan Istana sudah pulih, lagipun pada 10 Nobember lalu, beliau dan 10 exco sudah menarik balik surat  bertarikh 17 September 2026, dihantar kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Surat itu berkaitan pendirian Ismail dan anggota MMK mengenai kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Cukuplah hormatilah pendirian Istana dan berilah peluang kepada Ismail melaksanakan amanah yang diberikan kepada beliau. Jangan ada sesiapa lagi yang mahu menjadi ‘batu api’ sama ada di dalam atau luar parti.

Cukuplah tiga bulan Negeri Sembilan berada dalam krisis pentadbiran, sekarang adalah masa untuk melaksanakan mandat yang diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) NS pada 1 Ogos lalu.

BN yang dibantu oleh Perikatan Nasional (BN) perlu sempurnakan amanah yang diterima dalam pilihan raya berkenaan. Rakyat telah beri kepercayaan cukup besar apabila memastikan BN-PN menguasai 25 daripada 36 kerusi yang dipertandingkan.

Daripada jumlah itu BN menguasai 18 kerusi manakala PN tujuh kerusi. Dari segi undi popular pula, dua gabungan itu meraih 56 peratus undi (BN -57%,PN 20.43%).

Maknanya rakyat mempunyai keyakinan tinggi terhadap  BN untuk menguruskan negeri bukannya terus mencetuskan konflik atau krisis yang tidak berkesudahan.

Penulis menyokong kenyataan Setiausaha BN Datuk Seri Dr.Zambry Abdul Kadir yang menegaskan keadaan ketika ini (di Negeri Sembilan) perlu ditangani dengan berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kenyataan disalah tafsir sehingga menambahkan ketegangan.

“Saya fikir kita tidak perlu lagi merumitkan keadaan. Proses berjalan, biarlah ia berjalan dengan sebaik-baiknya. Saya tidak mahu buat kenyataan-kenyataan, nanti disalah anggap. Proses berjalan seperti biasa,” katanya..

Kini proses itu sudah berjalan, BN menghantar surat kepada Istana memaklumkan peletakan jawatan Ismail dan peletakan jawatan itu hanya berkuat kuasa jika diperkenankan oleh Tuanku Muhriz.

Dan semalam Ismail menjalankan tugas seperti biasa dan esok akan menghadap bagi membincangkan barisan exco – maknanya semua orang boleh faham apa pendirian Tuanku Muhriz serta apa pula kedudukan Ismail sekarang.

Kesimpulannya, krisis Negeri Sembilan sudah hampir berakhir. Apa yang berlaku pasti ada hikmahnya serta memberi pengajaran bahawa Allah SWT berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 26 hingga 32 bermaksud:

“Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.’’

Begitulah juga kedudukan Ismail, ramai yang merasakan krisis akan berakhir jika beliau berundur manakala ada individu sudah sedia menggantikannya tetapi Allah SWT penentu segala-galanya. Justeru semua kena redha…jangan nak berpolitik tak tentu hala hingga negeri tergugat, rakyat meluat.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here