SEORANG anggota polis maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dalam kemalangan berhampiran Jambatan Pulau Melaka, Kota Bharu, petang semalam.
Mangsa, Koperal Muhammad Alimi Kamarudin, 35, yang bertugas di Cawangan Pensejataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.45 petang ketika mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dari arah Panji menghala ke Kota Jembal.
Menurutnya, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan akibat keadaan jalan yang basah dan licin sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Motosikal itu kemudian bergesel dengan bahagian sisi hadapan kanan sebuah kereta Proton X70 yang datang dari arah bertentangan.
“Mangsa terjatuh di atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kereta Proton X70 berkenaan dipandu lelaki berusia lingkungan 40-an dari arah Kota Jembal menghala ke Panji, manakala pemandu dan penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kota Bharu atau Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Syarafuddin Ramlee di talian 09-7752315.





