Pengetua maahad tahfiz didakwa guna dokumen palsu tuntut RM16,894

SEORANG pengetua Maahad Tahfiz Bistari (MTB) Pulau Besar, Melaka, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menggunakan dokumen mengandungi butiran palsu bagi tuntutan pembekalan makanan bermasak berjumlah RM16,894, pada 2024.

Tertuduh, Abd Kadir Husin, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan dokumen mengandungi butiran matan palsu iaitu Borang Permohonan Pembelian Barang/Perkhidmatan Jabatan Agama Islam Melaka berkaitan tuntutan bayaran pembekalan makanan bermasak kepada 20 pelajar maahad tahfiz berkenaan bagi Februari 2024.

Tuntutan berjumlah RM16,894 itu didakwa mengandungi maklumat tidak benar kerana pembekalan makanan bermasak yang sebenarnya layak dituntut bagi 20 pelajar berkenaan pada bulan itu hanya untuk tempoh sembilan hari.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan niat untuk memperdayakan prinsipal dan merupakan kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Mahkamah menetapkan wang jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Tertuduh turut diperintahkan melapor diri di pejabat SPRM Melaka sekali setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 7 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Soleh Yusof.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here