SEBUAH gudang kereta potong di Jalan Utusan, Off Jalan Chan Sow Lin, Sungai Besi musnah kira-kira 90 peratus dalam kebakaran awal pagi tadi.
Kebakaran itu turut menyebabkan kepulan asap hitam tebal memenuhi ruang udara sekitar lokasi, selain menarik perhatian pengguna media sosial apabila gambar dan rakaman kejadian tular sejak awal pagi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu, Pegawai Bomba Kanan 1 Abdul Manas Abdul Wahab berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada jam 5.53 pagi.
Katanya, jentera dari BBP Pudu bersama bantuan enam balai bomba lain digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sejurus tiba di lokasi jam 6.03 pagi, anggota bomba mendapati kebakaran membabitkan sebuah gudang dengan keadaan api sedang marak.
“Kebakaran berjaya dikawal jam 7.03 pagi daripada terus merebak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi pemadaman dilakukan dari keempat-empat sisi bangunan menerusi kaedah ofensif dan defensif.
Katanya, tindakan pembendungan turut dilaksanakan bagi mengelakkan api merebak ke bangunan berhampiran.
“Sebanyak 75 anggota bomba terbabit dalam operasi berkenaan, manakala kerja pemadaman masih diteruskan.
“Buat masa ini, tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian berkenaan,” katanya.
Tinjauan BH di lokasi mendapati anggota bomba masih meneruskan kerja pemadaman bagi memastikan kebakaran dipadamkan sepenuhnya.
Maklumat lanjut termasuk punca kejadian akan diperoleh selepas operasi pemadaman selesai.





