AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh membidas kenyataan Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berhubung arahan penutupan sementara premis perniagaan di Terengganu bagi memberi laluan kepada umat Islam menunaikan solat Jumaat.
Dr Muhamad Akmal yang juga EXCO Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka berkata, kira-kira 97 peratus penduduk Terengganu beragama Islam, justeru tempoh penutupan selama dua jam itu bertujuan membolehkan pekerja Muslim menunaikan solat Jumaat.
“Solat Jumaat adalah wajib kepada lelaki beragama Islam yang ditunaikan antara jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang.
“Tempoh ini tidak lama dan tujuannya untuk memberi kebenaran menunaikan solat Jumaat, bukannya bagi rehat serta tidur,” katanya menerusi hantaran video di media sosialnya, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata, polisi dikeluarkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) itu hanya terpakai kepada premis perniagaan milik orang Islam.
Menurutnya, premis bukan Islam yang tidak mempunyai pekerja Islam tidak berdepan masalah untuk meneruskan operasi sepanjang tempoh berkenaan.
“Sebelum kamu nak bercakap, tolong guna otak dan fahami sensitiviti orang Islam.
“Sebagai Ahli Parlimen, kamu patut tahu kenapa sepanjang tempoh itu premis perniagaan masyarakat Muslim tutup (sementara).
“Jadi kepada rakyat Malaysia, ini adalah perangai sebenar pemimpin DAP. Sama-sama kita fikirkan dan zahirkan nanti di atas kertas undi,” katanya.
Terdahulu, Poay Tiong yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka membangkitkan kebimbangan bahawa arahan penutupan premis antara jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang setiap Jumaat boleh menjejaskan kebebasan berniaga dan gaya hidup masyarakat bukan Islam.
Susulan itu, Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), Young Syefura Othman turut menyelar tindakan Poay Tiong yang mempersoalkan arahan MBKT berkenaan.
Bagaimanapun, Poay Tiong menegaskan beliau tidak berniat menyentuh sensitiviti atau memperlekehkan amalan agama mana-mana pihak menerusi kenyataannya.




