MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan menggesa Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong menghormati urusan pentadbiran negeri serta sensitiviti umat Islam berhubung arahan penutupan sementara premis perniagaan ketika solat Jumaat.
Beliau berkata, tidak bersetuju dengan kenyataan Poay Tiong yang mempertikaikan arahan berkenaan, termasuk membabitkan rangkaian kedai serbaneka.
Menurutnya, pelaksanaan peraturan itu terletak di bawah bidang kuasa pentadbiran negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta mempunyai asas perundangan yang jelas.
“Perkara ini urusan pentadbiran negeri dan PBT yang mempunyai asas perundangan menerusi enakmen negeri serta mandat rakyat tempatan, seperti di Terengganu, selaras dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.
Zulkifli berkata, kewajipan menunaikan solat Jumaat dan meninggalkan urusan jual beli bagi lelaki Muslim apabila tiba waktunya adalah tuntutan agama yang jelas berlandaskan Surah al-Jumu’ah ayat 9, bukannya sekadar amalan budaya.
Katanya, peraturan yang dikuatkuasakan PBT berkenaan bertujuan memelihara kewajipan ibadah selain memberi ruang kepada pekerja dan pelanggan beragama Islam menunaikan solat Jumaat tanpa kekangan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan pemimpin supaya lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan bagi memelihara keharmonian negara.
“Dalam membina masyarakat majmuk yang harmoni, setiap pemimpin perlu cermat dan saling menghormati batas amalan agama masing-masing agar ia tidak dijadikan bahan polemik atau pertikaian politik,” katanya.
Terdahulu, Poay Tiong mempertikaikan larangan aktiviti perniagaan atau hiburan ketika waktu solat Jumaat yang dikuatkuasakan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).





