Dua maut, motosikal dipercayai dirempuh MPV dari belakang

DUA individu maut selepas motosikal dinaiki mereka dipercayai dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dari arah belakang di Kilometer 102 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, di Sungai Petani hari ini.

Dalam kejadian itu, seorang mangsa tercampak ke atas jalan manakala seorang lagi terperosok di bawah kenderaan Toyota Avanza terbabit.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.30 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani bergegas ke lokasi.

Menurut kenyataan itu, kemalangan membabitkan seorang lelaki dan seorang wanita yang menaiki motosikal berkenaan.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian, manakala pemandu MPV tidak mengalami kecederaan.

“Anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang terperosok sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Operasi terkawal pada jam 4.12 petang dan ditamatkan sepenuhnya empat minit kemudian selepas kerja pembersihan serta pemeriksaan keselamatan selesai dijalankan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here