Sindiket sembelih haram kaut untung RM10,000 sehari sejak 2022 tumpas

KEGIATAN sindiket penyembelihan haram yang mampu mengaut keuntungan sehingga RM10,000 sehari sejak hampir empat tahun lalu terbongkar selepas polis melancarkan Op Salju di lima negeri.

Lebih mengejutkan, hasil serbuan di lapan premis mendapati empat daripadanya menggunakan khidmat pekerja bukan beragama Islam untuk menjalankan aktiviti penyembelihan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, empat lagi premis menggunakan pekerja beragama Islam bagi menjalankan kegiatan berkenaan.

“Dalam Islam, penyembelihan ini bukan sekadar memotong, (malah) ia adalah ibadah dan mempunyai syarat wajib, antaranya penyembelih mestilah seorang Muslim,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini, lapor Sinar Harian.

Menurutnya, siasatan mendapati sindiket terbabit menjalankan operasi secara tersembunyi sejak 2022 dengan menggaji 55 pekerja yang dibayar upah antara RM50 hingga RM200 sehari.

Kegiatan itu dipercayai mampu menghasilkan keuntungan harian antara RM1,500 hingga RM10,000.

Bagi membanteras kegiatan berkenaan, seramai 745 anggota daripada 10 agensi penguatkuasaan digerakkan dalam operasi bersepadu di 13 negeri bagi memeriksa pasar raya, stor dan pusat penyembelihan yang disyaki terbabit.

“Hasilnya, kita memeriksa 161 individu dan menahan 96 daripada mereka untuk siasatan lanjut di bawah 15 akta berbeza.

“Nilai rampasan keseluruhan dalam operasi di pusat penyembelihan ini sebanyak RM2.44 juta,” katanya.

Mohd Yusri berkata, pihak berkuasa memberi jaminan rantaian pengedaran sindiket berkenaan sudah diputuskan sepenuhnya, manakala pemantauan akan diteruskan dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain.

Beliau turut menggesa orang ramai membantu pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat sekiranya mengesan premis penyembelihan mencurigakan yang beroperasi secara tersembunyi.

“Soal halal ini bukan soal satu agensi sahaja, (sebaliknya ia) adalah soal maruah umat Islam dan tanggungjawab kita bersama,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here