MAJLIS Amanah Rakyat (Mara) mengarahkan siasatan segera terhadap kontraktor penyedia makanan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba di Jasin susulan aduan pelajar dan ibu bapa berhubung hidangan ayam yang didakwa tidak dimasak sempurna.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, aduan itu diterima selepas beberapa pelajar dan ibu bapa memaklumkan mengenai masalah berkenaan yang berlaku ketika penyediaan hidangan di Dewan Selera pada petang Ahad lalu.
Beliau berkata, semakan awal mendapati kontrak penyedia makanan di institusi berkenaan hanya berbaki sebulan sebelum tamat tempoh.
“Sudah semacam satu trend apabila satu-satu kontrak sudah hampir tamat tempoh, maka penyedia makanan semacam mengabaikan kualiti makanan yang disediakan.
“Saya amat kecewa dengan sikap kontraktor yang tidak bertanggungjawab seperti ini.
“Saya sudah minta pengetua segera siasat dan ambil tindakan tegas malam ini juga,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Asyraf Wajdi menegaskan, isu berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana kebajikan pelajar perlu menjadi keutamaan, terutama mereka yang tidak berkemampuan membeli makanan alternatif di kafe atau koperasi.
Katanya, keadaan itu turut boleh menjejaskan pelajar Tingkatan Lima yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekiranya makanan disediakan tidak memenuhi piawaian ditetapkan.
Beliau berkata, pihaknya sebelum ini sudah melakukan pemeriksaan mengejut di MRSM berkenaan beberapa minggu lalu dan memberi peringatan kepada penyelia dewan selera supaya memastikan kualiti makanan sentiasa terjamin.
“Baru beberapa minggu lepas saya melakukan terjah di MRSM ini dan beri amaran kepada Penyelia Dewan Selera agar pastikan kualiti makanan yang disediakan menepati piawai yang Mara tetapkan.
“Ini soal kebajikan pelajar yang saya tidak boleh tolak ansur. Kontraktor makanan boleh dikenakan penalti dan akan disenarai hitam daripada mendapat apa-apa manfaat daripada Mara pada masa akan datang,” katanya.
Beliau turut mengingatkan kontraktor supaya tidak mengabaikan tanggungjawab menyediakan makanan berkualiti demi mengejar keuntungan, terutama apabila kontrak perkhidmatan hampir tamat.




