PENGGUBALAN akta baharu Majlis Amanah Rakyat (Mara) penting bagi memelihara aset di bawah seliaan agensi itu bernilai RM23 bilion selain melindungi lebih 700,000 pelajar dan usahawannya daripada pelbagai isu yang terkait dengan kelemahan tadbir urus.
Pengerusi Mara, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Akta Mara 2026 adalah kemuncak inisiatif memperkemas sistem tadbir urus bagi mengelakkan isu antaranya pembelian aset luar negara di Australia dan United Kingdom antara 2012 hingga 2013 sehingga menyumbang kepada kerugian kepada anak syarikat majlis itu.
Menurut beliau, langkah itu bagi menokhtahkan sebarang bentuk penyelewengan dan penyimpangan terhadap aset milik Mara kerana berisiko menjejaskan mandat dan amanah besar orang Melayu dan Bumiputera.
“Ia antara faktor kenapa tiga tahun lalu ketika dilantik sebagai Pengerusi Mara pada 10 Mac 2023, perkara pertama yang saya lakukan ialah menubuhkan Pasukan Khas Untuk menilai dan memperbaiki Tadbir Urus Korporat dan Tata Kelola Kewangan Mara diketuai oleh Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Muhammad Ibrahim.
“Selain isu pembelian aset luar negara yang menyebabkan anak syarikat Mara Corp iaitu Mara Inc mengalami kerugian terkumpul RM286.30 juta dari 2012 hingga 2022, berlaku juga kontroversi penajaan pasukan bola sepak Kelantan (The Red Warriors/TRW) hingga membawa kepada penggantungan Pengerusi Mara ketika itu,” katanya melalui kenyataan di media sosial hari ini.
Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, kontroversi dalam Mara juga pernah direkodkan membabitkan pelbagai projek yang tiada siapa dipertanggungjawabkan sehingga membawa kerugian hingga jutaan ringgit selain isu membabitkan kutipan hutang pinjaman yang tidak diuruskan dengan baik dan teratur serta kartel menguasai tender perolehan Mara antaranya tender makanan bernilai puluhan juta.
“Banyak lagi isu lain yang semuanya terkait dengan kelemahan struktur asas tadbir urus institusi dan tata kelola yang lemah. Maka kemuncak segala inisiatif ini adalah melalui cadangan penggubalan Akta Mara 2026 untuk menggantikan undang-undang lapuk melalui Akta Mara 1966,” katanya.
Asyraf Wajdi berkata, Mara mempunyai tanggungjawab besar bukan sahaja menjaga kebajikan dalam aspek pendidikan, namun juga keusahawanan.
Katanya, selain menjaga kebajikan 45,000 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), tanggungjawab sama juga perlu dilaksanakan terhadap hampir 225,000 pelajar dalam ekosistem pendidikan Mara antaranya TVETMara, GiatMara, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM).
“Ini baru sektor pendidikan Mara, belum lagi sektor keusahawan Mara membabitkan lebih 500,000 penerima manfaat sama ada yang menyewa di lebih 6,800 premis Mara. Mereka mendapat pelbagai bentuk pinjaman, geran dan bantuan Mara melalui program pembiayaan antaranya melalui program PROsPec, ada 160 cawangan UniKlinik, UniFarmasi dan UniDental seluruh negara,” katanya.
Asyraf Wajdi berkata, melalui sektor pelaburan pula, lebih 13 anak syarikat di bawah Mara Corporation menjalankan pelbagai aktiviti pelaburan untuk memastikan mereka boleh menjana pendapatan dan memberikan pulangan dalam bentuk dividen kepada Mara.





