MAYAT seorang lelaki yang disyaki dibunuh ditemukan dalam keadaan separuh badan terbenam dalam lumpur di tebing tali air di Kampung Baru, Ladang Byram, Nibong Tebal.
Mangsa dipercayai warga tempatan itu ditemukan orang awam sebelum kejadian berkenaan dilaporkan kepada polis kira-kira jam 11 malam tadi.
Pemeriksaan awal polis dan pasukan forensik di lokasi mendapati terdapat kesan kecederaan pada kepala mangsa, selain kesan darah turut dikesan berhampiran tali air berkenaan.
Polis mengambil masa beberapa jam untuk menjalankan siasatan serta pemeriksaan di kawasan sekitar sebelum menamatkan kerja di lokasi kejadian kira-kira jam 6 pagi tadi.
Laluan berkenaan lazimnya digunakan penduduk kampung untuk ke sungai dan sangkar ikan berhampiran.
Sementara itu, Penyelia Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal, Mohd Faizal Khan Mohd Hassan berkata, pasukannya dipanggil bagi membantu polis mengeluarkan mayat berkenaan.
“Mayat yang masih sempurna itu ditemukan terbenam dalam lumpur dan anggota bomba membantu mengangkatnya keluar sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut kira-kira jam 2.45 pagi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, lapor Harian Metro.
Polis dijangka memberikan maklumat lanjut berhubung kejadian itu.





