PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendoakan kesembuhan Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, yang kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Anwar menerusi hantaran di Facebook memaklumkan beliau menerima perkhabaran mengenai keadaan kesihatan tokoh sastera yang mesra disapa Pak Samad itu.
Beliau dan isteri mendoakan agar Allah SWT mengurniakan keafiatan, mengangkat segala kesakitan serta memberikan kesembuhan segera kepada A. Samad.
“Semoga seluruh keluarga besar terus dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menempuh ujian ini, insya-Allah,” katanya.
Anwar turut menyifatkan A. Samad sebagai sosok budayawan yang amat berjasa dalam dunia kesusasteraan tanah air.





