SEORANG pekerja grafik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, atas tiga pertuduhan membabitkan amang seksual fizikal dan pemilikan bahan penganiayaan seksual seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.
Tertuduh, Hisbani Hairizal Shamsul Bahari, 32, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar selepas semua pertuduhan dibacakan.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perbuatan membabitkan kontak fizikal bagi maksud seksual tanpa persetubuhan terhadap mangsa di kawasan Pinggiran Bayu, Mantin, kira-kira jam 11 malam pada 17 November lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat jika sabit kesalahan.
Bagi dua lagi pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dalam bentuk gambar serta bahan pornografi dalam bentuk video membabitkan mangsa sama.
Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 10 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi memohon jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan berserta beberapa syarat tambahan.
Bagaimanapun, peguam bela, Nurhusna Mohd Tharimazi memohon jaminan minimum dengan memaklumkan tertuduh sudah berkahwin dan bekerja di sebuah kilang dengan pendapatan RM2,300 sebulan, manakala isterinya bekerja secara kontrak.
Beliau berkata, tertuduh turut menghidap tekanan darah tinggi dan kolesterol serta menanggung ibu bapanya yang tidak bekerja, lapor Sinar Harian.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM12,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tertuduh atau wakilnya dilarang mengganggu mangsa.
Tertuduh juga diarahkan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 22 Disember depan.





