Suffian dilantik Ketua JSPT Kuala Lumpur baharu

ASISTEN Komisioner Suffian Abdullah dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur baharu, berkuat kuasa hari ini.

Beliau yang sebelum ini Timbalan Ketua JSPT Kuala Lumpur menggantikan Senior Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa yang dilantik sebagai Penolong Pengarah Kanan (Kepolisan Am), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman.

Majlis serah terima tugas berlangsung di Dataran Perbarisan Balai Polis JSPT Kuala Lumpur dengan disaksikan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus.

Majlis dimulakan dengan upacara pemakaian pangkat sebelum diteruskan dengan sesi menandatangani dan pertukaran dokumen serah terima tugas antara Suffian dan Mohd Zamzuri.

Fadil merakamkan penghargaan kepada Mohd Zamzuri atas khidmat dan dedikasi beliau menerajui jabatan itu selama hampir tiga tahun.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Zamzuri atas sumbangan, komitmen serta khidmat cemerlang sepanjang tempoh beliau berkhidmat sebagai Ketua JSPT Kuala Lumpur.

“Usaha dan kepimpinan beliau, khususnya dalam memastikan kelancaran pengurusan trafik, meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan serta menangani pelbagai isu keselamatan jalan raya di ibu negara, amat dihargai,” katanya.

Beliau berkata, tugas menerajui jabatan yang bertanggungjawab menguruskan trafik di bandar metropolitan seperti Kuala Lumpur bukanlah mudah kerana memerlukan ketegasan, kebijaksanaan membuat keputusan serta keupayaan mengimbangi penguatkuasaan dengan kepentingan masyarakat.

Fadil berharap segala pencapaian dan sumbangan Mohd Zamzuri menjadi asas kukuh kepada kepimpinan baharu untuk meneruskan usaha penambahbaikan.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Suffian atas pelantikan berkenaan.

“Saya percaya dengan pengalaman, pengetahuan dan keupayaan kepimpinan yang dimiliki, Suffian mampu mengekalkan kecemerlangan jabatan, selain memperkenalkan penambahbaikan yang bersesuaian dengan keperluan dan cabaran semasa.

“Saya berharap semua pegawai dan anggota JSPT Kuala Lumpur akan memberikan sokongan, kerjasama serta komitmen sepenuhnya kepada kepimpinan baharu bagi memastikan segala perancangan dan agenda jabatan dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here