SPRM Kedah bakal miliki kompleks pejabat baharu

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah bakal memiliki kompleks pejabat baharu yang dirancang bagi memenuhi keperluan operasi, keselamatan dan penyampaian perkhidmatan agensi itu untuk jangka masa panjang.

Bagi memastikan pembangunan berkenaan menepati keperluan organisasi, perancangan awal sedang diteliti menerusi bengkel Client Brief of Requirements (CBOR) bagi projek pembinaan kompleks berkenaan.

Pengarah Bahagian Kewangan, Akaun dan Pembangunan SPRM, Siti Nor Minu berkata, bengkel itu penting bagi mengenal pasti keperluan ruang, fungsi serta kemudahan setiap bahagian dan unit sebelum diterjemahkan kepada reka bentuk fizikal bangunan.

Katanya, setiap cadangan perlu mengambil kira fungsi sebenar, kapasiti pengguna dan kemampuan peruntukan, selain memenuhi keperluan operasi semasa serta jangkaan pada masa hadapan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan bengkel berkenaan yang berlangsung selama tiga hari bermula 22 hingga 24 November di Hotel Dusit Princess di Ipoh.

Yang turut hadir, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong dan Arkitek Penguasa Kanan Jabatan Kerja Raya (JKR), Mohd Amir Mohd Dali.

Menurut Siti Nor, penglibatan semua pakar bidang atau Subject Matter Expert (SME) amat penting bagi memastikan input yang dikemukakan bersandarkan keperluan tugas masing-masing serta disertakan justifikasi yang jelas.

Katanya, perancangan kompleks itu juga perlu memberi penekanan terhadap aspek keselamatan, kerahsiaan maklumat, privasi dan kawalan akses, khususnya bagi ruang yang menempatkan fungsi penguatkuasaan serta pencegahan rasuah.

Beliau turut menggariskan empat prinsip utama yang perlu menjadi panduan pembangunan projek berkenaan, iaitu kecekapan kos dan nilai untuk wang, keperluan fungsi serta operasi, keselamatan dan kerahsiaan, selain kelestarian dan keperluan masa hadapan.

Perancangan itu juga perlu mengambil kira penggunaan teknologi, kecekapan tenaga, kemudahan digital, aksesibiliti serta reka bentuk ruang yang fleksibel bagi menyesuaikan kompleks dengan perubahan keperluan organisasi.

Dalam pada itu, Siti Nor mengingatkan bahawa setiap cadangan tambahan atau perubahan keperluan selepas skop projek dimuktamadkan boleh memberi kesan kepada kos pembinaan, keluasan bangunan, tempoh pelaksanaan dan penyelenggaraan.

“Sebarang permintaan tambahan selepas skop dan keperluan dimuktamadkan berpotensi menyebabkan perubahan reka bentuk, peningkatan kos serta kelewatan pelaksanaan projek. Justeru, kesepakatan semua SME pada peringkat CBOR amat penting bagi mengurangkan risiko perubahan skop sepanjang pelaksanaan projek,” katanya.

Beliau berkata, kompleks baharu itu bukan sekadar menyediakan ruang kerja, sebaliknya perlu berfungsi sebagai aset strategik yang menyokong keberkesanan SPRM dalam melaksanakan tanggungjawab pencegahan dan penguatkuasaan rasuah.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here